Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang akan berfungsi sebagai badan penasihat strategik tertinggi yang akan memandu hala tuju keselamatan dalam talian termasuk memantau dan memberikan syor mengenai keselamatan kandungan dalam talian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang & Reformasi Institusi), Dato’Sri Azalina Othman Said berkata bagi menjamin ketelusan dan kredibiliti, ahli jawatankuasa ini dilantik daripada pelbagai latar belakang kepakaran, merangkumi sektor awam, swasta dan masyarakat sivil.
Ahli jawatankuasa ini terdiri daripada Pengerusi, Tan Sri Hasnah Dato’ Mohammed Hashim; Timbalan Pengerusi, Datuk Lim Thean Shiang; Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Berlesen (Application Service Provider – ASP, Barhoum Abe Abed; Pemberi Perkhidmatan Rangkaian Berlesen (Network Service Provider – NSP), Mohd Kasyful Azim Ab Rahman; dan wakil dalam kalangan Orang Kurang Upaya, Dr. Ruzimi Mohamed.
Selain itu, lima orang yang dilantik mempunyai pengalaman, pengetahuan kepakaran yang bersesuaian dalam perkara yang berhubungan dengan keselamatan dalam talian iaitu, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin; Thiyagu Ganesan; Dato’ Sri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos; dan Wathshlah Naidu.
Pelantikan ini adalah bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.
Azalina berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat, terutamanya bagi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan jenayah siber yang kian kompleks dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] yang secara rasminya bermula pada 1 Januari 2026.
“Selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Akta Keselamatan Dalam Talian, jawatankuasa ini bukan sekadar berperanan secara pentadbiran, sebaliknya menjalankan fungsi substantif yang meliputi pemberian nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung pengelasan kandungan memudaratkan dan kandungan prioriti seperti penganiayaan seksual kanak-kanak serta fraud kewangan,”katanya dalam kenyataan.
“Selain itu, penentuan kaedah analisis risiko dan strategi mitigasi bagi melindungi pengguna daripada kemudaratan dalam talian, penilaian keberkesanan mekanisme aduan.
pemantauan penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang, selain melaksanakan penyelidikan teknikal dan analisis pakar terhadap trend baharu jenayah siber termasuk penyalahgunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan deepfakes, ”katanya lagi.
Ujarnya, Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan bahawa hak kebebasan bersuara dihormati, namun dalam masa yang sama, tidak akan berkompromi terhadap keselamatan rakyat, terutamanya golongan rentan.-SUARA.TV



