48 NGO sokong kerjasama Kerajaan-BERSATU, gesa perluas CSA kepada lapan reformasi utama

KUALA LUMPUR – Sebanyak 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO) menyambut baik kerjasama politik antara Kerajaan MADANI dengan sekumpulan Ahli Parlimen BERSATU menerusi Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai pada 29 Oktober lalu.

Bagaimanapun, gabungan itu menggesa supaya kerjasama berkenaan diperluaskan bagi membolehkan lapan reformasi institusi utama dilaksanakan sebelum berakhirnya penggal Parlimen ke-15.

Menerusi kenyataan media bersama bertarikh 3 November, gabungan berkenaan berpandangan bahawa CSA tersebut merupakan perkembangan positif ke arah kestabilan politik, namun skop perjanjian itu masih terlalu terhad dan perlu diperluaskan melangkaui soal sokongan politik serta peruntukan pembangunan kawasan.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan 13 Ahli Parlimen atas pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) pada 29 Oktober 2026.

“Walaupun CSA ini meletakkan Kerajaan pada posisi yang lebih kukuh untuk mengusulkan dua pindaan perlembagaan tersebut, ia terlalu sempit skopnya dan tetap transaksi sifatnya, memandangkan pemberian CDF yang saksama kekal menjadi barang dagangan rundingan dan bukannya mandat undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Gabungan tersebut turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil kesempatan daripada perkembangan politik berkenaan untuk membentuk kerjasama lebih menyeluruh antara kerajaan dan pembangkang.

Menurut mereka, satu perjanjian merentas parti yang melibatkan kesemua 218 Ahli Parlimen perlu diwujudkan bagi memastikan agenda reformasi negara tidak tergendala akibat ketidaktentuan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mereka berpandangan bahawa kerjasama sedemikian bukan sahaja dapat memperkukuh demokrasi berparlimen, malah mampu meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan politik Malaysia.

“Kredit bagi kejayaan reformasi ini wajar diberikan kepada setiap daripada 218 Ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Kami menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berhubung secara terus dengan kepimpinan tertinggi PN demi memperdalam demokrasi dan memperkukuh kestabilan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama tersebut merupakan inisiatif enam organisasi utama iaitu Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Rasuah Busters.

Antara organisasi lain yang menyokong kenyataan itu ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aliran, G25 Malaysia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), National Human Rights Society (HAKAM), Centre for Independent Journalism (CIJ), Women’s Aid Organisation (WAO) dan All Women’s Action Society (AWAM).

Gabungan itu mencadangkan lapan reformasi utama dimasukkan dalam perjanjian merentas parti, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun dan memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Enam lagi reformasi yang dicadangkan ialah penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Ombudsman, Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan yang Saksama, Akta Pendanaan Politik, penstrukturan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bertanggungjawab kepada Parlimen serta pemberian notis tiga bulan sebelum pembubaran awal Parlimen.

Menurut mereka, empat reformasi pertama merupakan antara janji awal Anwar ketika memulakan pentadbirannya, manakala dua daripadanya memerlukan sokongan majoriti dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Gabungan itu menegaskan bahawa pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya amat penting bagi mengelakkan pendakwaan terpilih, kekebalan daripada tindakan undang-undang serta kewujudan amalan masyarakat dua darjat.

Sementara itu, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Ombudsman pula dilihat mampu memperkukuh ketelusan pentadbiran serta meningkatkan akauntabiliti kerajaan kepada rakyat.

Dalam aspek peruntukan pembangunan kawasan, gabungan tersebut menegaskan bahawa semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sepatutnya menerima peruntukan secara adil tanpa mengira kedudukan politik masing-masing.

“Peruntukan CDF tidak sepatutnya dimonopoli oleh Kerajaan atau dijadikan syarat untuk menyokong Kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mencadangkan penggubalan Akta Pendanaan Politik bagi mengelakkan penyalahgunaan dana awam dan mengurangkan pengaruh penderma swasta terhadap parti politik.

Dalam masa sama, SPR perlu diperkukuh sebagai sebuah institusi bebas yang bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen dan bukannya kepada Perdana Menteri.

Gabungan itu turut menyokong gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said supaya kepimpinan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan satu lagi CSA bersama Kerajaan MADANI.

Bagaimanapun, mereka berpandangan bahawa sebarang perjanjian baharu perlu mempunyai skop lebih luas, termasuk menjamin kepentingan sah pembangkang dan mewujudkan persaingan politik yang lebih adil.

Menurut kenyataan itu, pendirian PN bahawa tujuh Ahli Parlimen BERSATU yang menyertai CSA sebelum ini tidak mewakili keseluruhan pembangkang turut diambil maklum.

Justeru, mereka berpandangan bahawa kepimpinan PN mempunyai peluang untuk mengemukakan cadangan kerjasama yang lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada negara.

“Kerana PN berada di posisi yang jauh lebih perkasa untuk menuntut perjanjian sebenar yang memberi manfaat kepada negara dan Pembangkang, kini adalah masa yang paling sesuai untuk PN membuktikan kepimpinan dan kesediaannya untuk memimpin negara selepas PRU16,” menurut kenyataan tersebut.

Gabungan itu turut mengingatkan bahawa kerjasama politik antara kerajaan dan pembangkang pernah dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021.

MoU berkenaan melibatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) yang berada di blok pembangkang.

Menurut mereka, kerjasama tersebut berjaya menyumbang kepada kestabilan politik dan pelaksanaan reformasi sepanjang kira-kira 13 bulan pentadbiran berkenaan.

Sehubungan itu, gabungan 48 NGO tersebut berharap perkembangan positif hasil kerjasama Kerajaan MADANI dengan Ahli Parlimen BERSATU menerusi CSA dapat menjadi asas kepada persefahaman politik yang lebih luas.

Mereka turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan notis sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pembubaran awal Parlimen sekiranya tiada persetujuan untuk meneruskan penggal sehingga 18 Disember 2027.

Langkah itu, menurut mereka, penting bagi membolehkan SPR, parti politik dan rakyat membuat persediaan sewajarnya menghadapi PRU16, sekali gus mengelakkan amalan pilihan raya mengejut yang boleh memberikan kelebihan tidak adil kepada pihak pemerintah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat