KUALA LUMPUR – Polemik yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh ditafsir sebagai perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, ia hanya sekadar masalah dalaman parti itu yang tidak menjejaskan perjuang kaum Melayu secara keseluruhan.
“Itu perpecahan dalam parti mereka. Tidak ada perpecahan dari segi perjuangan untuk bangsa Melayu,” katanya pada sidang media meja bulat berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (RTA) antara Amerika Syarikat dan Malaysia bersama parti-parti politik serta NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya semalam.
Bekas Presiden Bersatu itu berkata demikian ketika diminta mengulas pertikaian dalaman Bersatu susulan beberapa pemimpinnya didakwa hilang kepercayaan terhadap Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini ekoran tindakan Bersatu memecat dan menggantung beberapa pemimpin yang mencabar dan menggesa Muhyiddin supaya berundur.
Ini termasuk Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Saifuddin Abdullah menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan selepas mendakwa beliau telah kehilangan mutu kepimpinan yang pernah dimilikinya ketika menubuhkan parti itu.
Selain itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin mempunyai personaliti yang sukar didekati, menyebabkan ramai pemimpin akar umbi lebih cenderung kepada Timbalan Presidennya Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun Dr Mahathir enggan menyatakan beliau menyebelahi pihak mana, sama adan Muhyiddin atau Hamzah.



