16 MP Bersatu tuntut Muhyiddin selesaikan kemelut dalaman parti, bukannya berundur

KUALA LUMPUR – Langkah 16 Ahli Parlimen Bersatu menyerahkan surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan untuk mendesak beliau berundur, sebaliknya menuntut agar Presiden Bersatu itu segera menyelesaikan kemelut dalaman parti yang makin meruncing.

Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan antara salah seorang wakil rakyat Bersatu menandatangani surat berkenaan berkata, surat tersebut dihantar kepada Muhyiddin secara terhormat dan cukup berlembut agar segala isu berbangkit itu diselesaikan secara baik.

Katanya, kemelut dalaman Bersatu termasuk tindakan pemecatan serta penggantu­ngan keahlian beberapa pemimpin, dikhuatiri bakal memberi kesan kepada parti itu dalam persediaan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kami sebagai Ahli Parlimen Bersatu berada dalam keadaan tersepit melihat kepada situasi yang melanda Bersatu ketika ini. Dalam berdepan PRN Sabah dan PRU16, kita tidak mahu perkara seperti ini terus berlarutan dan menjejaskan parti.

“Kita cukup menghormati Presiden (Muhyiddin), malah surat tersebut yang dihantar sendiri oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah kepada Muhyiddin itu juga dihantar secara baik, bukan untuk dihebohkan,” katanya kepada Utusan di Kangar, semalam.

Kelmarin, media melaporkan seramai 16 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu dipercayai menzahirkan kebimba­ngan terhadap kepemimpinan Muhyiddin susulan keputusan memecat dan menggantung dua wakil rakyat serta tindakan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke Lembaga Displin parti.

Perkara itu disahkan oleh Saifuddin.

Dalam Risalah No.13 bertarikh 31 Oktober 2025, Saifuddin mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan sendiri surat tersebut kepada Muhyiddin di Parlimen pada 27 Oktober lalu sebagai wakil kepada Ahli Parlimen yang menandatanga­ninya.

Tambah Zakri, sesetengah pemimpin Bersatu juga perlu mengelak daripada berterusan menyerang semasa sendiri yang disifatkan tidak baik dan boleh menjejaskan kestabilan parti.

“Selesai baik-baik dalam semangat kekeluargaan demi kepentingan parti. Muhyiddin sebagai ‘abah’ juga perlu membantu menyelesaikan masalah ‘anak-anak’ ini,” katanya.

Sementara itu, ADUN dari Bersatu juga senada dengan langkah 16 Ahli Parlimen tersebut yang mahu Muhyiddin segera menyelesaikan kemelut dalaman yang semakin membimbangkan.

Antaranya, ADUN dari Titi Tinggi, Izizam Ibrahim yang tidak mahu melihat keadaan Bersatu terus berpecah belah di saat parti itu dan Perikatan Nasional (PN) bakal menuju pilihan raya.

Kata Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar itu, rakyat pada masa ini mempunyai banyak pilihan dan jika Bersatu terus bertelagah sesama sendiri ia memberi gambaran tidak baik kepada parti.

“Kita tetap menyokong Muhyiddin sebagai presiden dan kita harap masalah ini boleh diselesaikan secara dalaman. Kita pun tidak berapa ramai, kalau asyik ambil tindakan pecat, gantung adalah tidak baik. Elakkan dan cari jalan penyelesaian secara adik beradik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat