Pengawal pengiring kenamaan mengaku bersalah, didenda RM1,000

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Seorang pengawal pengiring kenamaan didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, pada Isnin kerana menumbuk seorang pemandu e-hailing yang juga orang kelainan upaya (OKU) di perkarangan sebuah hotel di ibu kota, Mei lalu

Tertuduh, Muhammad Taufik Ismail, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

“Saya mengaku,” kata tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ong Ing Keong, 47, di hadapan lobi sebuah hotel di Brickfields di Kuala Lumpur pada 11.40 pagi, 28 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berikutan itu, Majistret Farah Nabihah menjatuhkan hukuman denda RM1,000, dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh dikenakan hukuman penjara 20 hari, lapor BH.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pengadu yang juga pemandu e-hailing memandu keretanya ke hadapan lobi sebuah hotel untuk mengambil penumpang dan menunggu penumpang terbabit lebih kurang lima minit.

Ketika penumpang terbabit masuk ke dalam kenderaan, pengadu melihat ada beberapa orang termasuk tertuduh yang bertindak seperti pengawal peribadi orang kenamaan berada di situ dan menunjukkan isyarat tangan kepadanya untuk beredar, namun pengadu tidak faham kerana dia merupakan OKU pekak dan bisu.

Pengadu kemudian membuka cermin kenderaannya dan mengangkat tangan kepada tertuduh untuk bertanya berkenaan apa yang terjadi dalam bahasa isyarat sebelum tertuduh menumbuk pengadu di bahagian mukanya dan menyebabkan pengadu berasa sakit di bahagian pipi sebelah kanan.

Pengadu kemudian meninggalkan lokasi kejadian dan menghantar penumpangnya ke Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Segambut di sini, serta membuat laporan polis.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh berada di tempat kejadian kerana bertugas sebagai pengawal pengiring kepada orang kenamaan dan laporan perubatan mengesahkan bahawa terdapat bengkak di bahagian muka sebelah kanan pengadu.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh berada di tempat kejadian kerana bertugas sebagai pengawal pengiring kepada orang kenamaan dan laporan perubatan mengesahkan bahawa terdapat bengkak di bahagian muka sebelah kanan pengadu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Razali Che Ani memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kes ini tular di media sosial dan mendapat liputan meluas oleh pihak media.

Katanya, kes ini juga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang mana ia membabitkan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya masyarakat tidak mengulangi kesalahan sama.

“Pengadu dalam kes ini merupakan OKU, sepatutnya tertuduh perlu membantu mangsa dan bukannya mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Razali mengendalikan kes itu bersama TPR Mohd Safarizal Zakaria.

Bagaimanapun, peguam A Ashok yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya bertugas anggota polis berpangkat Lans Koperal dan sudah berkhidmat selama sembilan tahun dalam PDRM dengan rekod bersih.

Katanya, tertuduh yang juga anak sulung kini menanggung dan menjaga bapanya yang sakit akibat strok dan tidak boleh berjalan manakala ibunya juga mengalami masalah kesihatan darah tinggi.

“Dalam kes ini, mangsa tidak mengalami kecederaan parah selain tiada motif dan elemen jenayah serius atau unsur keganasan yang melampau serta tiada peralatan atau senjata dalam mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

“Anak guam saya ketika itu sedang menjalankan tugas keselamatan semasa mengiringi dan dia mempunyai rekod bersih sepanjang perkhidmatannya.

“Dia memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mangsa selain menyesal dengan kesalahan yang dilakukannya itu,” katanya.

Dalam pada itu, prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati daripada pihak pengadu, Zaid Malek.

Zaid ketika ditemui di luar bilik mahkamah, memaklumkan pihaknya berpuas hati kerana kes itu akhirnya dibawa ke muka pengadilan dan tertuduh dijatuhkan hukuman yang sewajarnya.

Pada Mei lalu, PDRM membuka kertas siasatan terhadap seorang pegawai pengiring kepada VVIP, kerana disyaki memukul seorang lelaki OKU bisu dan pekak di sebuah hotel dekat KL Sentral.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipetik berkata mangsa berusia 46 tahun yang juga pemandu Grab itu mendakwa dipukul ketika berada di lobi hotel berkenaan.

Pada Jun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata 12 individu dipanggil memberi keterangan berkait siasatan kes itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat