Angkat warisan gamelan Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Budaya harus diraikan, bukan dijadikan pameran, apatah lagi ketika ini, banyak elemen kesenian yang kurang diberi perhatian di platform arus perdana.

Misalnya, gamelan yang hanya didendangkan pada majlis rasmi seperti istiadat konvokesyen dan acara diraja.

Atas kesedaran itu, enggan bunyian gamelan dianggap lapuk dan tidak relevan dengan halwa telinga anak muda, kumpulan Monoloque tampil dengan dengan album berkembar terbaru di bawah Penerbitan Pancasona yang diberi judul Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad Ke-21).

Mewakili kumpulan Monoloque, Loque atau nama sebenar, Khairil Ridzwan Annuar, berkata album yang diusahakan bersama Perbadanan Muzium Negeri Pahang itu diterbitkan bagi meraikan budaya dan menjadikan gamelan Melayu relevan.

“Idea asal album ini datang daripada penerbit eksekutif projek ini, iaitu Pengarah Muzium Negeri Pahang, Datuk Farid Abdul Jalal.

“Beliau yang membuahkan idea dan memberi mandat kepada saya untuk menerbitkan album yang menggabungkan gamelan Melayu dengan muzik sekarang.

 

Kumpulan Monoloque berguru dengan pemain Orkes Gamelan Pahang Di Raja bagi memahami dan menjiwai gamelan Melayu. Foto Ihsan Monoloque
Kumpulan Monoloque berguru dengan pemain Orkes Gamelan Pahang Di Raja bagi memahami dan menjiwai gamelan Melayu. Foto Ihsan Monoloque

 

“Selepas penghasilan album Butterfingers, Selamat Tinggal Dunia, saya dihubungi Farid yang menyatakan hasrat meluaskan skop bunyian gamelan kerana instrumen itu dilihat terhad pada majlis rasmi sahaja,” katanya.

Kerjasama antara Monoloque dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang tercetus pada 2005 apabila Farid mendengar irama gamelan dalam sebuah lagu kumpulan grunge, Butterfingers yang dianggotai Loque, suatu ketika dahulu.

Gabungan gamelan dan grunge menarik minat Farid dan kebetulan, ketika itu, Muzium Pahang sedang mencari inisiatif mengetengahkan gamelan Melayu.

Pada pelancaran album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad Ke-21) dan muzik video single Legenda yang diberi nafas baharu daripada nyanyian asal Datuk Sheila Majid, baru-baru ini, Loque bercerita mengenai proses penghasilan projek yang mengangkat bunyian gamelan itu, terutama tempoh panjang 10 tahun merealisasikannya.

“Saya akui perjalanan album ini perlahan. Namun, alhamdulillah, selepas 10 tahun, projek ini siap. Gamelan adalah peralatan muzik istimewa. Disebabkan itu, kami tidak mahu menghasilkan album ini sekerat hati tanpa kajian.

“Namun, dalam tempoh 10 tahun, kami menghasilkan satu persatu single sejak 2018. Lagu pertama adalah Chinta bersama NJWA.

“Seterusnya, Urusan Seri Paduka Baginda bersama Aizat Amdan pada 2019. Tahun lalu, kami lancarkan single Selamatkan Legasi bersama Kimal.

“Kemuncaknya adalah lagu Legenda bersama album penuh ini,” katanya.

Dalam merealisasikan projek album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad Ke-21), Loque berguru daripada pemuzik lama, termasuk pemain Orkes Gamelan Pahang Di Raja bagi memahami dan menjiwai gamelan Melayu.

Selain mendalami kaedah bermain gamelan Melayu, kajian mengenai lagu ‘repertoire’ Joget Gamelan Melayu turut dibuat dan ‘digali’ sepanjang proses penerbitan album ini.

Sekali lagi, kekangan sumber dan dokumentasi menyukarkan proses menjejaki lagu lama dalam format asal. Bagi Loque, perkara itu amat mengecewakan apabila generasi lama pergi dengan membawa ilmu berharga.

Tambah Loque, proses rakaman album terbabit dianggap luar biasa.

“Proses rakaman gamelan bukanlah mudah. Gamelan adalah alat muzik agung, tidak seperti alat muzik lain.

“Ada banyak perkara teknikal di mana saya, penolong penerbit dan ahli kumpulan perlu teroka dan kaji,” katanya sambil dipersetujui ahli Monoloque lain iaitu Kadax, Ijoo, Apex dan Bakri.

Loque berkata, alat muzik agung, gamelan Melayu menjadi nadi album itu kerana pendengar rata-rata lebih mengenali gamelan Jawa dan Bali biarpun gamelan Melayu ada keistimewaan tersendiri.

“Hero dan watak utama dalam album ini adalah gamelan Melayu dari Pahang. Gamelan ini ada banyak jenis, tapi yang kami gunakan dalam album ini adalah gamelan Melayu yang tiba di Pahang lebih 200 tahun lalu,” katanya.

Loque berharap usaha dan tekad menjayakan projek album bunyian Gamelan Melayu ini sebagai muzik eksperimental mereka diterima dengan minda terbuka.

“Kami meraikan budaya dalam lagu. Saya tahu ramai yang tidak boleh terima, tetapi saya beranikan diri. Ini adalah apa yang saya boleh buat ketika hayat.

“Niat utama saya, selain menghasilkan muzik, mahu meraikan budaya nusantara dalam lagu.

“Terima kasih kepada ahli kumpulan kerana masih percayakan saya biarpun ada perbezaan pendapat dan kefahaman,” katanya.

Lagu Perang dipilih sebagai judul album berkembar ini kerana dendangan ini dianggap ‘repertoire’ Joget Gamelan Melayu yang sering menjadi pembuka tirai persembahan Orkes Gamelan Pahang Di Raja.

Judul ini dianggap simbolik terhadap perjuangan Logue dalam mempertahankan budaya daripada menjadi mangsa arus modenisasi dan globalisasi.

Beberapa lagu daripada album ini sudah dimuat naik ke laman digital Spotify, Apple Music, Deezer, dan Tidal.

Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di Abad ke 21) dilancarkan dalam versi piring hitam dan cakera padat (Deluxe).

Versi piring hitam dihasilkan pada 2018 memuatkan 20 lagu manakala versi Deluxe dihasilkan pada tahun lalu pula memuatkan 27 buah lagu yang diperbaharui gubahannya.

Bagi memeriahkan album terbabit, Loque juga menjalinkan kerjasama dengan penyanyi tempatan iaitu NJWA, Aizat Manifesto dan Kimal Margasatwa.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat