KUALA LUMPUR, – Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin membangkitkan kebimbangan serius di Dewan Rakyat berhubung keputusan kerajaan membeli 60 buah pesawat Boeing bernilai RM81 bilion, yang menurutnya berkait dengan usaha menurunkan tarif balas oleh Amerika Syarikat kepada 19 peratus.
Beliau mempersoalkan sama ada langkah tersebut telah mengorbankan kedaulatan negara dalam rundingan perdagangan, dan menuntut penjelasan terbuka daripada kerajaan.
“Dengan siapa pun kita berdagang kedaulatan dan kepentingan negara wajib dipertahankan. Kalau tidak kerana madu, takkan lebah datang bersarang,” tegas beliau ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Parlimen.
Hamzah turut mempersoalkan keputusan pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines (MAS), yang menurut Menteri MITI adalah keputusan korporat dan tidak melibatkan wang rakyat. Namun, beliau membalas bahawa MAS adalah milik Malaysia Aviation Group (MAG) dan MAG pula dimiliki Khazanah Nasional Berhad.
“Betullah bukan hutang kerajaan, tapi ianya liabiliti kerajaan,” kata beliau, menyindir penjelasan yang dianggap bersifat teknikal semata-mata.
Hamzah turut membangkitkan kegagalan kerajaan menubuhkan atau mengaktifkan Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang diumumkan oleh Menteri MITI dalam Sidang Khas Parlimen pada 15 Mei lalu untuk menangani isu tarif balas tersebut.
“Rakyat tidak mahu melihat sebuah kerajaan depan cakap lain, belakang buat lain,” tegasnya lagi.
Menurut beliau, ancaman tarif Amerika merupakan isu nasional yang memerlukan pendekatan bipartisan dan bukan urusan politik kepartian sempit.
Mengulas suasana perdagangan global yang kian mencabar, Hamzah mengingatkan bahawa Malaysia sebagai negara dagang tidak boleh membiarkan dirinya dipinggirkan atau menjadi ‘buah catur’ dalam percaturan kuasa besar.
“Kalau kita tidak cermat dalam memposisikan diri, kita akan diperlakukan sebagai buah catur permainan negara kuasa besar,” katanya sambil menyentuh mengenai keperluan berdagang secara bermaruah.
Beliau juga menggesa supaya kerajaan lebih telus dan berani menyatakan kepada rakyat jika wujud sebarang bentuk kompromi atau tekanan dalam rundingan perdagangan antarabangsa, khususnya dengan Amerika Syarikat.
Dalam nada tegas, Hamzah menyeru seluruh ahli Parlimen agar melihat isu ini sebagai soal maruah negara, bukan sekadar urusan ekonomi.
“Ini bukan soal parti. Ini soal negara. Kita mesti berdiri sebagai satu suara stand as Malaysians,” katanya.
Ucapan beliau menambahkan tekanan terhadap kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan penjelasan menyeluruh berkenaan perjanjian pembelian pesawat dan kesannya terhadap hubungan dagang serta kedaulatan negara.- SuaraTv



