Polis Tahan 4 Suspek Pecah Rumah Geng Ah Hau

- Advertisement -

ALOR SETAR – Empat ahli Geng Ah Hau termasuk dalang utama yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Pahang dan Perak sejak tahun lalu berjaya ditahan di dua lokasi berasingan mulai bulan lalu.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 32 hingga 44 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan iaitu di Tikam Batu, Sungai Petani pada 30 Julai lalu dan Brickfields, Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam empat kejadian pecah rumah yang berlaku dalam tempoh sehari pada 22 Julai lalu di Kulim, dekat sini.

“Dalam kejadian itu, mereka disyaki melarikan pelbagai barangan antaranya wang tunai, komputer riba, peralatan elektrik, jam tangan, kamera dan barang kemas bernilai kira-kira RM250,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Kata beliau, susulan itu, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan ahli kumpulan geng berkenaan.

“Hasil siasatan berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki di sebuah rumah di Tikam Batu, Sungai Petani pada 30 Julai lalu.

“Soal siasat dan risikan yang dilakukan kemudian membantu pihak polis menahan tiga lagi lelaki di Brickfields, Kuala Lumpur pada Ahad lalu,” ujarnya.

Menurut Zainuddin, salah seorang daripada mereka yang ditahan di Brickfields dipercayai merupakan dalang utama geng itu.

“Kita percaya masih ada saki-baki anggota kumpulan ini yang terlibat dan kegiatan memburu mereka kini giat dijalankan,” katanya.

Ujarnya, siasatan lanjut mendapati mereka memiliki rekod keseluruhan 49 kesalahan lampau merangkumi pelbagai kes antaranya samun, pecah rumah dan narkotik.

“Kita membuat rampasan antara dua buah kereta sewa jenis Mazda CX-5 dan Honda HRV, 15 telefon bimbit, empat walkie talkie, tujuh jam tangan, dua komputer riba, lima kamera, dua buku koleksi setem serta beberapa peralatan pecah rumah,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 457 Kanun Keseksaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat