PPBM Hulu Langat Dakwa Tangan Ghaib Ubah Keputusan Pemilihan Bahagian

- Advertisement -

SEMENYIH – Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM/Bersatu) Hulu Langat hari ini mempersoalkan tindakan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang mengumumkan perubahan drastik dalam keputusan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Bahagian itu.

Menggelarkan kumpulan mereka sebagai pasukan Wawasan Hulu Langat, Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad berkata keputusan barisan JPP dilihat berbeza dengan keputusan pemilihan itu pada 19 Julai lalu.

“Pada 31 Julai lalu, pada Hari Raya Aidiladha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah mengumumkan keputusan yang sebaliknya.

“JPP gagal memberikan penjelasan perubahan keputusan rasmi. Antara calon-calon yang tewas dalam pemilihan berkenaan telah diumumkan menang.

“JPP seolah-olah melepas tangan apabila menyatakan keputusan mereka adalah muktamad dan tidak boleh dipinda,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Al Hafiz Ikhwan adalah Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat pada keputusan 19 Julai lalu.

Di bawah beliau adalah Safrizal Mirni Rani selaku Timbalan Ketua Bahagian; Ahli Jawatankuasa Bahagian; Mohamad Hisham Mashod, Ketua Armada Bersatu, Yasser Zulkefli dan Ketua Srikandi, Nurizam Ramli.

Al Hafiz Ikhwan berkata sejumlah 15 cawangan daripada 21 cawangan Bersatu kawasan itu telah bersidang dan keputusan pemilihan telah diumumkan pada 9.30 malam pada 19 Julai lalu.

Keputusan itu telah memihak kepada mereka untuk menerajui parti bagi Bahagian Hulu Langat.

Bagaimanapun pada 31 Julai, keputusan itu berbeza di mana Datuk Dr Mohd Radzi Abd Latif pula yang diangkat menjadi Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat.

Sementara itu, jawatan bagi Ketua Srikandi dan Ketua Armada juga dilihat berbeza iaitu Azhar Abdul Razak diangkat menjadi Ketua Armada dan Suhila Jamalludin pula memegang jawatan Ketua Srikandi.

Mereka kemudiannya bertindak membuat tiga laporan polis terhadap keputusan itu.

Keputusan itu ditandatangani oleh Pengerusi JPP Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pasukan Wawasan Hulu Langat itu turut mendakwa ada unsur-unsur sabotaj dan kerja tangan-tangan ghaib yang cuma mengubah keputusan dan mengkhianati mandat ahli.

“Pasukan Wawasan yang mewakili suara akar umbi memenangi majoriti kerusi-kerusi utama dalam parti di Bahagian Hulu Langat, menyatakan kekesalan kami atas insiden yang kami kenali sebagai ‘Rampasan Hak Ahli Akar Umbi’.

“Perjuangan kami bukan atas jawatan atau pangkat selain hak ahli yang teraniaya perlu kami bela.

“Majoriti telah memilih pemimpin yang perlu mewakili mereka, namun tidak ada sabotaj yang telah meragut kemenangan ahli,” katanya lagi.

Pada malam itu juga, dua cawangan telah dibatalkan persidangannya tanpa alasan yang kukuh malah tidak dipanggil untuk memberikan keterangan mahupun membela diri.

Dalam pada itu, Al Hafiz Ikhwan berkata pihaknya masih akan membuat laporan susulan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas sahaja sidang media ini, kita akan selesaikan di peringkat dalam parti juga,” katanya.

Al Hafiz Ikhwan juga mendakwa, beberapa bahagian dalam Bersatu juga akan menerima nasib yang sama tidak lama lagi.

“Saya mendapat maklumat tidak rasmi bahawa ada beberapa bahagian lain juga akan terjejas,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat