Shuib Bukan Freemason!

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Penulis sememangnya tidak pernah mengambil pusing mengenai hal-hal kehidupan artis tempatan mahupun luar negara.

Terlalu banyak perkara lain yang lebih bermanfaat untuk difikirkan dan dibuat selain daripada mengambil tahu hal peribadi atau kehidupan orang lain.

Namun begitu, baru-baru ini penulis telah terbaca (dan terlihat) tulisan dan video klip yang cuba mengaitkan seorang selebriti tempatan dengan pertubuhan Freemason.

Selebriti tersebut adalah Shuib yang merupakan usahawan, pelakon, pelawak dan juruhebah terkenal.

Antara video klip yang tular di media sosial adalah gambar Shuib dan isterinya Watie yang menutup sebelah mata bagi mempromosikan sebuah rangkaian kedai emas dan juga ada sekeping gambar Shuib yang tangannya seolah-olah membuat bentuk tiga segi.

Tetapi, yang paling teruk adalah komen seorang netizen yang menyebut nama Allahyarhamah Siti Sarah yang merupakan arwah isteri Shuib dan mengaitkannya dengan Freemason, vaksin dan sebagainya.

Pada hemat penulis, tuduhan yang dibuat ke atas Shuib dan keluarganya adalah satu perkara yang amat jahat.

Shuib adalah seorang usahawan Muslim/ Bumiputera yang sewajarnya menjadi kebangaan kita semua.

Kita sebagai masyarakat telah melihat Shuib “membesar” daripada dikenali hanya sebagai seorang peserta rancangan hiburan, selebriti popular dan seterusnya menjadi salah seorang usahawan yang amat berjaya.

Apa yang dimiliki Shuib hari ini tidak berlaku sekelip mata, tetapi jika kita membaca artikel-artikel mengenai beliau, sudah tentu kita akan dapati bahawa beliau bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.

Kita sebagai masyarakat, khususnya orang Melayu harus menjadikan cerita-cerita kejayaan seperti Shuib ini sebagai suatu blueprint untuk diaplikasikan di dalam masyarakat kita dan bukannya mencela mereka yang secara langsung telah berjaya mengangkat ekonomi ummah dengan perniagaan yang halal.

Penulis sendiri amat kagum dengan kejayaan beliau dan berharap agar lebih banyak lagi anak muda Muslim seperti Shuib akan muncul untuk kita bersama-sama berjaya dari segi kewangan dan ekonomi.

Tuduhan palsu yang mengatakan bahawa Shuib menyertai pertubuhan Mahsuni (Freemason) mungkin datang daripada mereka yang iri hati dengan kejayaan beliau.

Si penuduh mungkin adalah seorang yang gagal dalam hidup dan tak berupaya untuk mencapai apa-apa kecermelangan yang signifikan, lantas menuduh seorang usahawan berjaya dengan pelbagai fitnah.

Pada hemat penulis, masyarakat kita pada hari ini terlalu didodoikan dengan teori konspirasi sampai menjadi terlalu taksub dengan cerita-cerita seperti ini.

Perkara ini diburukkan lagi dengan wujudnya sesetengah penceramah yang memberi “kuliah” ilmu mengenai teori konspirasi sehingga menyebabkan sesetengah masyarakat yang pendek akal menerima cerita-cerita ini sebagai sebahagian daripada ilmu agama.

Perkara ini telah membangsatkan pemikiran orang Melayu (khususnya bagi mereka yang rendah IQ) sehingga mempercayai bahawa seolah-olah kita wajib mengetahui hal-hal ini.

Sedangkan si penceramah pula bukanlah seorang pengkaji tulen dan hanya mendapat “ilmu” mereka daripada video-video Youtube dan tulisan picisan yang dibuat oleh Ahli Teori Konspirasi barat.

Akhirnya sesetengah masyarakat yang mendengar ceramah-ceramah ini hanya mendapat secebis maklumat dan daripada cebisan maklumat ini mereka menghukum segala benda tanpa berfikir panjang.

Hal ini menjadi parah apabila dalam ketakutan dan kekalutan mereka memerhatikan lambang-lambang yang dikatakan berdasarkan kumpulan-kumpulan tertentu yang berkonspirasi ini, mereka menghukum seorang insan yang tidak bersalah seperti Shuib.

Untuk makluman para pembaca, Shuib bukan orang pertama yang pernah difitnah sedemikian rupa, ini kerana beberapa tokoh lain sebelum ini juga pernah dituduh sebagai ahli Freemason seperti Tunku Abdul Rahman dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sepertimana tokoh-tokoh yang disebutkan, sudah jelas disini bahawa Shuib bukanlah Ahli Freemason mahupun mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pertubuhan tersebut.

Penulis juga percaya, Shuib tidak pernah menjejakkan kaki di mana-mana Lodge pertubuhan tersebut di dalam mahupun di luar negara.

Fitnah seperti ini akan terus berlaku sekiranya kita tidak mendidik masyarakat (khususnya orang Melayu) berkenaan ancaman sebenar kepada agama dan bangsa kita.

Apa yang menjadi musuh utama orang Melayu Islam di negara ini bukanlah freemason atau konspirasi-konspirasi tertentu, tetapi yang memasung kita daripada terus berjaya menjadi sebuah bangsa yang terbilang adalah kedangkalan pemikiran kita sendiri.

Ratusan Mat Rempit/Mat Lajak berlumba dijalan raya setiap malam minggu tidak datang dari Freemason.

Ribuan Mat Dadah/Mat Gian dari kampung sampai ke bandar bukan datangnya dari Freemason.

Ribuan anak-anak Melayu Islam yang keciciran pelajaran dan kurang zat makanan di kawasan bandar dan luar bandar bukan disebabkan oleh Freemason.

Kegagalan ini datangnya dari masyarakat kita secara kolektif dan ianya akan hanya dapat diselesaikan jika kita mengejar ilmu-ilmu yang bermanfaat, menjalankan perintah/syariat Allah S.W.T dan juga bersedia untuk berkorban demi pembangunan bangsa kita.

Semasa komentar ini ditulis, penulis difahamkan bahawa Shuib bersama barisan peguamnya akan menyaman pemfitnah tersebut.

Penulis berharap agar kemenangan akan dapat dicapai oleh Shuib dan si pemfitnah akan mendapat balasan setimpal di dunia ataupun di akhirat kelak.

Buat para pembaca artikel ini, ingatlah, tiada kuasa yang lebih hebat di dunia ini melainkan kuasa Allah S.W.T.

Carilah ilmu yang bermanfaat untuk pembangunan diri sendiri, keluarga & masyarakat kita dan tinggalkanlah perkara yang sia-sia agar kita tidak terjerumus ke lembah yang hina.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat