MOT arah Prasarana pasang pintu keselamatan penumpang di semua stesen elak insiden maut digilis LRT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mempertingkatkan langkah keselamatan di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT), termasuk pemasangan pintu keselamatan penumpang di platform.

Arahan ini susulan insiden tragis yang meragut nyawa seorang lelaki warga Taiwan di Stesen Pusat Bandar Puchong semalam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pemasangan pintu keselamatan itu penting bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang.

“Dari segi langkah keselamatan, memang saya dah minta Prasarana untuk merancang untuk memasang pintu keselamatan penumpang itu di semua stesen-stesen LRT dan MRT.

“Sebab ini, untuk stesen-stesen MRT baharu, memang ada pintu keselamatan, kita ada satu pintu sebelum tren sampai.

“Monorel pun telah kita siapkan, cuma untuk LRT aliran Ampang, ada stesen-stesen yang ini dengan reka bentuk lama, yang belum ada pemasangan pintu keselamatan di platform. Jadi, itu sesuatu yang saya minta Prasarana untuk melaksanakannya,” katanya pada Rabu.

Menurut Anthony Loke pemasangan kemudahan keselamatan tambahan itu dijangka melibatkan kos yang besar dan memerlukan bajet tambahan daripada kerajaan.

“Tetapi, memang kita memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan memberikan prioriti untuk menambah baik keselamatan di stesen-stesen.

“Prasarana tengah buat perancangan, sebab semuanya akan melibatkan bajet untuk pembangunan tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai insiden kematian lelaki warga Taiwan itu, beliau berkata siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian akan diserahkan untuk tujuan itu.

“Kita ada satu kemalangan, yang mungkin penumpang itu atau mangsa tidak sedar berkenaan dengan keadaan platform.

“Insiden itu dirakam dalam Kamera Litar Tertutup (CCTV), jadi kita tahu bahawa itu memang satu kemalangan.

“Tapi kita biarkan pihak polis membuat siasatan. Jadi, CCTV itu akan diserahkan kepada pihak polis oleh Prasarana. Saya rasa setakat ini, kita serahkan kepada pihak polis dulu untuk membuat siasatan lebih terperinci,” lapor BH.

Dalam kejadian petang semalam, seorang lelaki warga Taiwan maut selepas dipercayai terjatuh ke atas landasan sebelum digilis tren LRT di Stesen Pusat Bandar Puchong.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat