Malaysia tawar bantuan pakar, latihan kepada Guinea-Bissau – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia sedia menawarkan bantuan kepakaran dan latihan kepada Guinea-Bissau menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program berkenaan akan diselaraskan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Hubungan kita dengan Guinea-Bissau sebelum ini boleh dikatakan agak sederhana, namun dengan lawatan ini, ia memberi makna lebih besar.

“Ini kerana Presiden (Jeneral Umaro Sissoco Embalo) membawa visi dan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan penting dalam mengembangkan hubungan dengan rantau ASEAN termasuk dalam aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama pelbagai bidang,” katanya pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Embalo ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra, pada Rabu.

Anwar berkata, kedua-dua negara turut menyentuh isu kerjasama dalam bidang halal, perbankan dan kewangan Islam, serta latihan teknikal dan pendidikan tinggi termasuk dalam bidang semikonduktor, teknologi makanan serta industri minyak dan gas.

Malah, beliau berharap Embalo dengan syarikat utama negara seperti PETRONAS dan Felda Global Ventures (FGV) dapat membuka potensi kerjasama dua hala dalam sektor minyak dan gas serta perladangan.

“Kita mahu kerjasama ini bukan terhad di peringkat nasional, sebaliknya menjadi batu loncatan untuk melebarkan hubungan di peringkat subrantau dan benua Afrika secara keseluruhan.

“Guinea-Bissau juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa kuasa besar dunia termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Russia dan Amerika Syarikat. Justeru, kerjasama dengan negara itu berpotensi memberi manfaat strategik kepada Malaysia,” katanya lapor BH di Putrajaya.

Perdana Menteri menyifatkan, kehadiran buat julung kali Presiden Guinea-Bissau sebagai langkah penting membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Embalo berkata, Guinea-Bissau sedia mencontohi pengalaman Malaysia kerana jauh mendahului dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan dan industri.

“Bagi saya, Malaysia menjadi contoh bukan hanya di Asia Tenggara, malah di peringkat dunia dan kami berasa bangga kerana kita bersaudara dan seharusnya saling menyokong seperti adik-beradik.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa hubungan ini akan diperkukuh antara saya dan Perdana Menteri (Anwar) serta pasukan kami,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat