KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Sabu mahu rakyat Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi peneraju dalam rantaian nilai halal global.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian ketika diberi ruang untuk mengadakan lawatan rasmi ke Sanda Shokuniku Kosha, pusat penyembelihan halal yang terletak di Kita-ku, Kobe City, Wilayah Hyogo, Jepun, satu-satunya fasiliti halal yang diiktiraf di wilayah ini dan terkenal dengan pengeluaran Halal Kobe Beef.
“Lawatan ini adalah sebahagian daripada penglibatan Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, dan memberi peluang kepada kita untuk memahami lebih dekat amalan terbaik industri daging halal Jepun dari aspek pemprosesan, kebersihan, sistem pengesanan, hingga penggunaan teknologi moden yang menepati keperluan keselamatan makanan.
“Bang Mat merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Sanda Shokuniku Kosha atas komitmen tinggi mereka dalam mematuhi piawaian halal antarabangsa dan memperkukuh ekosistem halal serantau,” kata beliau.
Menurut Mohamad, kerjasama strategik sebegini amat penting dalam usaha mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal global.
“Selaras dengan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan nilai-nilai mampan, sejahtera dan berdaya cipta, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi penekanan kepada pemerkasaan industri ruminan untuk tahun 2025.
“Kita ingin melihat lebih banyak penglibatan anak tempatan dalam sektor ini, dengan teknologi moden dan jaminan halal sebagai asas kejayaan.
“Kita mahu rakyat Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi peneraju dalam rantaian nilai halal global, Insya-Allah,” ujarnya.