TEHRAN – Tentera Iran hari ini memberi amaran tegas bahawa pasukan Amerika Syarikat (AS) akan diserang sekiranya mereka memasuki Selat Hormuz.
Ia susulan Presiden AS Donald Trump mengumumkan, Washington akan mula mengiringi kapal-kapal untuk melalui selat yang sedang disekat itu.
Rundingan antara kedua-dua negara itu terus menemui jalan buntu sejak gencatan senjata dalam perang AS-Israel dengan Iran berkuat kuasa 8 April lalu, dengan penguasaan Tehran ke atas selat strategik berkenaan menjadi pertikaian utama.
Semalam, Trump berkata, operasi maritim baharu dinamakan ‘Project Freedom’ itu adalah usaha ‘kemanusiaan’ untuk kru di atas kapal-kapal terkandas akibat sekatan di Selat Hormuz, yang mungkin mengalami kekurangan bekalan makanan dan keperluan penting yang lain.
“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kapal dan kru mereka keluar dari selat itu dengan selamat.
“Dalam semua kes, mereka menyatakan tidak akan kembali sehingga kawasan itu selamat untuk pelayaran,” katanya dalam satu hantaran melalui Truth Social sambil memaklumkan bahawa operasi itu akan bermula hari ini, lapor AFP.
Namun dalam respons kepada kenyataan Trump itu, markas pemerintah pusat tentera Iran menegaskan sebarang rentasan selamat melalui Selat Hormuz mesti diselaraskan dengan pasukannya ‘dalam semua keadaan.’
“Kami memberi amaran bahawa mana-mana pasukan bersenjata asing – terutama tentera AS yang agresif – sekiranya mereka berhasrat untuk menghampiri atau memasuki Selat Hormuz, akan disasarkan serta diserang,” kata Mejar Jeneral Ali Abdollahi dalam satu kenyataan disiarkan IRIB.



