ADUN PN–Bersatu Gemas pilih berkecuali, tidak sertai gerakan singkir Aminuddin

KUALA LUMPUR, – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN), yang juga wakil Bersatu bagi kawasan Gemas, mengumumkan pendirian berkecuali dan tidak akan menyertai sebarang gerakan untuk menyingkirkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad berkata keputusan tersebut dibuat selepas meneliti secara mendalam perkembangan politik semasa negeri, khususnya susulan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika ini.

Menurut beliau, keutamaan utama adalah memastikan kestabilan politik negeri tidak terjejas, terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

“Penukaran kepimpinan kerajaan negeri pada waktu ini tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan yang merugikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ridzuan turut menegaskan bahawa sebarang perubahan besar dalam landskap politik seharusnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum, bukannya dilakukan dalam situasi semasa yang boleh mencetuskan ketidaktentuan.

Beliau yang juga ADUN Bersatu menambah, semua pihak perlu memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi negeri.

Pendirian berkecuali itu dilihat signifikan dalam kemelut politik Negeri Sembilan ketika ini, susulan usaha pihak tertentu untuk membentuk semula kerajaan negeri selepas BN menarik sokongan terhadap Aminuddin, sekali gus mencetuskan krisis majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Difahamkan, keputusan tersebut juga dipercayai tidak terpisah daripada perkembangan di peringkat nasional, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengkritik Perikatan Nasional sebagai pihak yang gemar mengambil kesempatan dalam situasi ketidaktentuan politik.

Dalam konteks itu, langkah Ridzuan dilihat sebagai usaha menjauhkan dirinya daripada sebarang persepsi bahawa PN cuba menangguk di air keruh atau mengeksploitasi krisis politik negeri untuk kepentingan tertentu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendiriannya kekal berlandaskan prinsip kestabilan, kematangan politik serta kebajikan rakyat mengatasi kepentingan politik jangka pendek. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat