Malaysia bebas penyakit anthrax – DVS

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memandang serius penyakit anthrax yang telah dilaporkan media berlaku di Champasack Province, Lao PDR pada 26 Mac lalu.

Malaysia bebas daripada penyakit anthrax semenjak kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, DVS menjelaskan sehingga kini, tiada sebarang laporan berkenaan penyakit anthrax di negara ini.

Malaysia bebas daripada penyakit ini semenjak kes terakhir yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada 1976.

Walau bagaimanapun, penyakit berkenaan sentiasa aktif di kebanyakan negara di merata benua.

Jelasnya lagi, melalui perbincangan ASEAN EOC Network VC: Anthrax Outbreak in Lao PDR yang diselaraskan oleh pihak KKM pada 2 April lalu mereka mengesahkan bahawa tiada kes disahkan positif anthrax melalui ujian makmal pada manusia mahupun haiwan.

Menurutnya, penyakit anthrax disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik iaitu penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia dan boleh membawa maut.

Menurutnya lagi, penyakit ini boleh menjangkiti ternakan dan manusia melalui kontak langsung dengan spora yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus anthracis. Ianya boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada haiwan ternakan.

“Antara tanda klinikal penyakit ini pada ternakan ialah kematian mengejut, demam yang tinggi, lemah, moyok, lesu, sukar bernafas, bengkak di kawasan jangkitan, terutamanya di kawasan leher, muntah dan cirit-birit.

“Dalam sesetengah kes, darah keluar dari hidung, mulut, atau dubur ternakan,” katanya.

Beliau berkata, penternak perlulah melaporkan segera kepada DVS sekiranya mengesan sebarang tanda tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya akan terus menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan demi memastikan negara sentiasa bebas daripada anthrax.

Katanya, DVS akan memaklumkan kepada pihak berkuasa veterinar Thailand terhadap kebimbangan Malaysia ke atas wabak anthrax dan meminta agar pemeriksaan penyakit anthrax dikenakan ke atas semua ternakan Thailand ke Malaysia.

Pihaknya akan meneruskan aktiviti pemantauan klinikal ke atas ternakan ruminan melalui program Survelan Kebangsaan untuk mengesan penyakit anthrax seawal yang mungkin.

Selain itu, DVS akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan di negeri, makmal veterinar dan Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) melalui persediaan kelengkapan logistik, proses kerja menghadapi wabak penyakit anthrax dan mengemas kini maklumat berkenaan anthrax.

Tambahnya, DVS akan menyediakan garis panduan pemeriksaan penyakit anthrax kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu-pintu masuk negara untuk memastikan penguatkuasaan teknikal dapat dijalankan dengan lebih efisien dan efektif ke atas ternakan import dari Thailand.

“DVS akan menyediakan risalah penyakit anthrax untuk edaran umum sebagai panduan mencegah daripada dijangkiti anthra dan penternak disarankan dapat meningkatkan tahap biosekuriti ladang terutamanya menjelang musim perayaan ini,” ujarnya lagi.

Selain itu, ternakan yang di bawa ke ladang, perlu dipastikan tahap kesihatannya melalui pemeriksaan Pegawai Veterinar bertauliah dan permit pergerakan ternakan yang sah.

Sekiranya mengesan sebarang tanda klinikal pada haiwan ternakan laporkan segera kepada DVS di setiap negeri atau hotline 03-8870 2041.

Penternak disarankan sentiasa berhati-hati dengan sebarang kemasukan ternakan yang tidak mempunyai permit pergerakan yang sah terutamanya ternakan yang dibawa masuk dari negara jiran, ”menurut kenyataan itu lagi. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat