KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman kerjasama strategik (MoU) dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah berkata ini merupakan kesinambungan daripada kerjasama strategik yang telah dimulakan sejak tahun 2017 dan hasil kejayaan pembangunan sistem aplikasi GIS Bank Negara Malaysia (BNM Geospatial System).
“Melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkasakan dan memperluaskan lagi fungsi sistem aplikasi berkenaan.
“Ini termasuk modul tambahan yang akan dilaksanakan bagi penambahbaikan sistem aplikasi yang meliputi aspek pengurusan, perancangan dan pemantauan aset BNM selain akan diperluaskan penggunaannya kepada bank-bank lain di seluruh Malaysia serta pihak- pihak lain yang berkepentingan menerusi seliaan BNM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya sistem aplikasi berteraskan teknologi geospatial angkasa ini berjaya dibangunkan dan dioperasikan bagi tujuan pemantauan taburan pusat akses perkhidmatan kewangan di seluruh negara dengan lebih cekap dan berkesan.
“Penggunaan teknologi angkasa dalam tadbir urus BNM ini antaranya dapat mengenal pasti kawasan yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.
“Ia berpotensi untuk meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan perbankan menerusi kepakaran penyelidik Kerajaan khususnya di MYSA dalam membangun sistem aplikasi serta menyediakan penyelesaian menyeluruh menerusi penggunaan teknologi angkasa,” katanya .
Tambahnya erjasama ini diharap dapat meluaskan lagi manfaat sistem aplikasi berkenaan disamping memperkasa jaringan perkongsian maklumat geospatial dan meningkatkan kompetensi pegawai kedua-dua pihak melalui program latihan serta pemindahan teknologi.
“Teknologi ini juga dapat mengenal pasti kawasan yang perlu diberikan tumpuan bagi inisiatif Bank Bergerak di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) dan mengenal pasti aktiviti ekonomi sesebuah kawasan bagi tujuan menaik taraf rangkuman kewangan, membantu pihak bank komersial merancang strategi bagi membuka cawangan, melantik ejen, menempatkan mesin terminal layan diri (SST) serta analisa maklumat sesebuah kawasan sebelum diberikan kebenaran untuk membuka atau menutup cawangan bank,” katanya.
Memorandum ini telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah, dan Penolong Gabenor, BNM, Suhaimi Ali.
Turut hadir sama adalah YNik Mazlina Nik Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi), MYSA dan Nor Rafidz Nazri, Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan, BNM serta pegawai kanan dan ahli projek kedua-dua agensi.