UMNO, BN akan diutamakan jika berlaku PRK – Ahmad Zahid

- Advertisement -

BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan diutamakan jika enam ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri terpaksa mengosongkan kerusi susulan Pindaan Perlembangaan Parti bersatu yang telah diluluskan bagi menghalang wakil rakyatnya belot.

Menurutnya, sudah tentu pengosongan kerusi itu tidak boleh berlaku kerana ia tertakluk kepada peraturan Parlimen dan juga Perlembagaan negara.

Jelasnya, beliau akan mengadakan rundingan bersama kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu.

“Pastinya perundingan untuk mendapatkan semula kerusi itu diberi keutamaan kepada calon-calon BN atau UMNO,” ujar beliau pada sidang media selepas menghadiri program ‘mini showcase’ pembangunan Bagan Datuk di Dewan Lope Hashim di sini, pada Ahad, lapor Utusan.

Sementara itu, Ahmad Zahidi menyifatkan pindaan perlembagaan Parti Bersatu Rakyat Malaysia (Bersatu) yang diluluskan semalam bagi menghalang wakil rakyatnya belot, adalah balasan daripada Allah.

“Saya fikir pindaan yang dibuat oleh parti berkenaan adalah balasan daripada Allah ta’ala.

“(Ia) kerana dulu, Setiausaha Agung parti itu telah membawa Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti berkenaan,”

Menurut Timbalan Perdana Menteri, tanpa sebarang usaha pun daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN), enam orang daripada mereka telah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PMX.

Terdahulu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada Sabtu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Kelulusan sebulat suara pindaan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di hadapan 1,956 perwakilan daripada bahagian serta sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi, dan Srikandi Muda yang hadir.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika membentangkan usul berkenaan berkata, tiga pindaan dengan memasukkan tambahan fasal pada Fasal 10 itu membabitkan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Katanya, Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli Bersatu yang juga wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi yang selari dengan Fasal 10.5 adalah disifatkan terhenti keahliannya daripada Bersatu secara serta-merta.

“Perkara 10.5 Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan apa-apa arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri atau Dewan Negeri. Semua arahan yang dikeluarkan di bawah fasal ini hendaklah dibuat secara bertulis.

“Perkara 10.6 pula merujuk kepada Fasal 10.4, Setiausaha Agung atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi hendaklah mengeluarkan satu notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan bahawa nama beliau telah dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti,” katanya.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat