Pimpinan tertinggi ATM akan jumpa PM mohon pelepasan perolehan dibeku

KUALA LUMPUR – Pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi memohon pelepasan dana susulan pembekuan sementara perolehan diputuskan kerajaan bulan lalu.

Pembekuan itu dibuat berikutan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi dalam ATM.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, berkata permohonan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

“Saya dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, bahawa dokumen yang memperincikan perbelanjaan pengoperasian yang harus diteruskan dan tidak dibekukan berada di peringkat akhir semakan sebelum dibentang kepada Perdana Menteri.

“Insya-Allah dalam tempoh seminggu, kami akan membuat rayuan kepada Perdana Menteri untuk sekurang-kurangnya melepaskan perbelanjaan operasi supaya kami dapat bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas melapor diri sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24 di Wisma Pertahanan, lapor BH pada Rabu.

Malek Razak berkata, beliau yakin Perdana Menteri akan memberi pertimbangan sewajarnya sebaik justifikasi dikemukakan, khususnya bagi komponen perbelanjaan operasi yang paling kritikal.

“Saya percaya dengan perhatian Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan juga dan dengan justifikasi yang kami kemukakan, beliau sekurang-kurangnya akan melepaskan bahagian terpenting perbelanjaan operasi,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Anwar mengarahkan pembekuan serta-merta semua keputusan perolehan ketenteraan dan polis bagi memulihkan integriti serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur, susulan dakwaan rasuah membabitkan ATM.

Mengenai implikasi pembekuan itu, Malek Razak berkata sebarang penangguhan berpanjangan terhadap perolehan dan perbelanjaan operasi akan menjejaskan aktiviti ketenteraan yang sedang berjalan meskipun pelan pembangunan masih boleh ditangguhkan dan ditangani pada peringkat seterusnya.

“Apabila perolehan dibekukan atau digantung sementara, ia sudah tentu menjejaskan operasi kami, sama ada pelan pembangunan atau perbelanjaan operasi yang menyokong aktiviti rutin,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan operasi meliputi keperluan harian seperti makanan anggota, bahan api, pergerakan anggota dan pengangkutan.

“Sebarang kelewatan berterusan boleh menjejaskan tahap kesiapsiagaan keseluruhan.

“Kesiapsiagaan kami akan menurun jika perbelanjaan operasi terus dibekukan. Ini perkara yang serius,” katanya.

Mengenai skala dana terbabit, Malek Razak berkata perbelanjaan operasi dianggarkan sekitar RM2 bilion bagi Tentera Darat dengan kira-kira RM1.5 bilion masing-masing untuk Tentera Laut dan Tentera Udara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat