Sebelum Thaipusam fitnah, selepasnya jadi kawasan rundingan – Fadhli Shaari sindir PM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa mengubah naratif berhubung isu kawasan seluas 5,207 hektar yang menjadi perhatian rakyat.

Dalam kenyataan di media sosial selepas sesi Dewan Rakyat hari ini, Fadhli berkata beliau hadir dengan harapan Perdana Menteri akan menafikan secara tegas bahawa angka 5,207 hektar itu tidak benar dan hanya rekaan semata-mata.

Namun menurutnya, jawapan Anwar hari ini disifatkan semakin mengelirukan apabila nada kerajaan berubah daripada penafian keras minggu lalu kepada penjelasan bahawa kawasan berkenaan adalah zon rundingan sempadan yang belum dimuktamadkan sejak dahulu.

“Minggu lepas ia digambarkan seperti cerita bohong dan fitnah. Hari ini ia wujud cuma dikatakan bukan wilayah sesiapa,” katanya.

Fadhli menegaskan dalam isu sempadan negara, istilah “bukan milik mana-mana negara” bukan ayat yang menenangkan sebaliknya membimbangkan kerana wilayah boleh hilang bukan melalui perang, tetapi melalui kenyataan diplomatik yang longgar.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan kerajaan bahawa Malaysia tidak menyerahkan tanah sebagai pampasan, namun pada masa sama wujud istilah rundingan mengenai pampasan tanah.

“Kalau tiada konsep pampasan kenapa wujud istilah pampasan. Pampasan kepada siapa, untuk apa dan dalam bentuk apa?” soalnya.

Tambahnya, rakyat bukan sekadar mahu diyakinkan dengan retorik, sebaliknya menuntut kerajaan mendedahkan bukti seperti peta sebelum dan selepas rundingan, asas koordinat serta dokumen terperinci selepas proses diplomasi yang berlarutan puluhan tahun.

“Ini bukan projek biasa, ini sempadan negara. Kita diminta percaya tetapi tidak dibekalkan bahan untuk menyemak,” katanya.

Fadhli menegaskan rakyat hanya mahu mendengar satu kenyataan jelas dan konsisten bahawa Malaysia tidak kehilangan walau seinci pun wilayahnya, kerana selagi perkara itu tidak dijelaskan dengan bukti, isu ini akan terus dilihat sebagai episod mengurus persepsi.

Beliau memaklumkan perbahasan lanjut tidak dapat dibuat di Dewan Rakyat atas alasan kesuntukan masa, justeru beliau memilih menulis pendirian penuh melalui media sosial.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat