179 graduan dirai dan ditauliahi dalam Konvokesyen INFRA ke-9

Oleh Zihan Zari

BANGI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) melakar sejarah apabila 179 orang graduan ditauliahi dalam Majlis Konvokesyen INFRA ke-9 yang telah berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, INFRA dekat sini, baru-baru ini.

Majlis konvokesyen yang penuh gilang-gemilang ini diraikan dengan penuh adat dan tradisi telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Dato’ Dr. Roslan Mahmood.

Dr. Roslan dalam ucapannya menegaskan bahawa ilmu dan kemahiran merupakan kunci masa depan negara, khususnya untuk memacu pembangunan luar bandar.

“Jadikan ilmu sebagai sahabat, dan kemahiran sebagai senjata, agar kita tidak hanya tahu bicara, tetapi juga mampu melaksana. Ilmu dan kemahiran bukan sekadar bekalan, tetapi kunci membuka masa depan. Ilmu membentuk fikiran, kemahiran membina tindakan.

“Apabila kedua-duanya digenggam erat, insya-Allah langkah tidak tersesat. Dunia kini tidak cukup dengan tahu, tetapi perlu tahu dan mampu. Maka carilah ilmu sepanjang hayat, dan asah serta manfaatkanlah kemahiran untuk pertiwi tanpa henti, kerana di situlah terletaknya nilai insan sejati, ”katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan upskilling dan reskilling bagi melahirkan komuniti yang berdaya saing, fleksibel dan bersedia bagi menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah.

“Selaras dengan hala tuju KKDW dan aspirasi Malaysia MADANI, kementerian amat menitikberatkan peranan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sebagai antara strategi penting untuk mengangkat potensi komuniti luar bandar, ”katanya.

“Sebanyak 280 institusi di bawah KKDW menawarkan 529 program daripada peringkat Sijil Kemahiran hingga Ijazah Kedoktoran, meliputi 15 kluster bidang kritikal untuk pasaran kerja semasa. Kerangka Sistem Pendidikan TVET KKDW ini telah melahirkan ramai tenaga pekerja, profesional, teknologi dan usahawan yang berjaya, ”katanya lagi .

Ujar beliau, INFRA antara institusi yang menjayakan latihan TVET , secara khususnya melalui program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Operasi Homestay Tahap 2 dan Tahap 3 yang disediakan secara sistematik dan berstruktur khusus kepada pengusaha dan bakal pengusaha homestay.

“Majlis konvokesyen ini turut mencerminkan komitmen INFRA yang kini memasuki usianya yang ke-30 tahun sebagai institusi latihan bawah KKDW yang mencorakkanmodal insan desa yang berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta moto INFRA ‘Membitara INFRA, Memaju Desa’.

“Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian akademik dan kemahiran, malah membuka peluang lebih luas kepada graduan untuk menyumbang kembali kepada komuniti sebagai pemimpin, penggerak dan pencetus perubahan daripada peringkat akar umbi, ”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, sebanyak 179 sijil kemahiran telah dianugerahkan merangkumi program TVET INFRA iaitu Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Pengajaran TVET Tahap 4, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pengurusan Desa Tahap 3,

Selain itu, SKM Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, SKM Operasi Homestay Tahap 2, serta Sijil Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semula Jadi Setempat Tahap 2.

Turut hadir, Pengarah Infra, Abd Jalil Ismail serta lebih 600 orang tetamu termasuk pengurusan tertinggi KKDW, rakan strategik, agensi awam, pihak industri, media serta keluarga para graduan.-SUARA.TV.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat