KUALA LUMPUR- Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh untuk mewujudkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur disemak semula dengan memfokuskan reformasi institusi, pentadbiran dan undang-undang yang lebih realistik dan komprehensif bagi memperkukuh kecekapan, profesionalisme dan akauntibiliti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bukannya mengheret rakyat ke arah eksperimentasi dan “roller coaster” politik dan idea yang berbahaya serta tidak berpijak di alam nyata, kata Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (MP-PN) mengambil maklum tentang kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh, berkait cadangan kajian untuk mengadakan Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai kaedah bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“MP-PN percaya langkah kementerian membingkaikan pilihan raya tersebut sebagai instrumen induk bagi memperkukuh peranan dan kecekapan DBKL adalah terlalu simplistik, naif dan salah arah. Kecekapan pentadbiran sesebuah bandar raya tidak sangat bergantung kepada cara bagaimana kepimpinannya ditentukan, sama ada dipilih atau dilantik, tetapi berdiri atas kekuatan institusi, sistem governans dan budaya pengurusannya.
“Jika objektif cadangan itu benar-benar bertujuan meningkatkan pencapaian DBKL, maka pendekatan yang lebih realistik dan praktis ialah dengan memfokuskan kajian kepada isu-isu langsung pentadbiran dan governansnya. Ini termasuklah isu-isu struktur organisasi DBKL, mutu kepimpinan, pengurusan sumber manusia, koordinasi antara unit, agensi dan kerajaan pusat, integriti dan mekanisme penguatkuasaan, aturan keutamaan serta mutu, kepantasan dan ketekalan pembuatan keputusan,” ujarnya.
Selain itu Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengingatkan, cadangan tersebut juga menimbulkan isu-isu perundangan dan perlembagaan serius yang perlu ditangani terlebih dahulu sebelum perbincangan mengenai pilihan raya tersebut boleh bermula.
Menurut Takiyuddin lagi, Kuala Lumpur adalah sebuah Wilayah Persekutuan yang diwujudkan bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan dan pentadbirannya diletakkan bawah tanggungjawab langsung kerajaan pusat.
“Sementara itu, DBKL sendiri ditadbir terutamanya mengikut Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan undang-undang subsidiari yang berkaitan dengan kuasa, fungsi dan akauntibiliti yang jelas ditetapkan dalam kerangka pentadbiran Persekutuan.
“Justeru apa-apa langkah ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar menuntut kajian semula komprehensif ke atas undang-undang sedia ada, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan dan undang-undang berkaitan. Ini termasuklah pertimbangan teliti mengenai bagaimana peranan tersebut boleh wujud bersama-sama bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif persekutuan lain.
“Tidak seperti pihak berkuasa tempatan yang ditadbir bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kuala Lumpur tidak tertakluk bawah bidang kuasa negeri, sementara struktur pentadbirannya juga tidak sama.
“Tanpa pindaan undang-undang dan perlembagaan yang jelas berkait skop kuasa eksekutif, bidang kuasa belanjawan, lini akauntibiliti dan mekanisme penyuraian konflik, pengenalan Pilihan Raya Datuk Bandar berisiko mencetuskan kekeliruan institusi, pertindihan bidang kuasa serta potensi konflik dan cabaran undang-undang,” kata Setiausaha Agung Pas itu dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, Datuk Bandar yang memiliki keabsahan demokratik tanpa kuasa undang-undang yang ditetapkan secara jelas akan hanya melemahkan, bukan memperkuat kepimpinan dan governans yang berkesan.
Dalam pada itu ujar Takiyuddin, tidak ada jaminan bahawa Pilihan Raya Datuk Bandar akan secara automatik membawa kepada penyampaian perkhidmatan atau governans lebih baik.
“Malah sistem sedemikian boleh membawa masalah tambahan lain, termasuk pempolitikan pentadbiran bandar raya, populisme elektoral, konflik Datuk Bandar yang dipilih dengan kerajaan Persekutuan serta ketidakstabilan dasar yang dipacu oleh kitaran pilihan raya, bukan dasar perancangan bandar jangka panjang.
“Tanpa menangani isu-isu teras ini terlebih dahulu, cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan harapan palsu dalam kalangan orang awam, selain menimbulkan masalah governans lain yang akan semakin melemahkan DBKL akibat salah fokus dan keutamaan,” katanya.



