51 tahanan PATI bolos diberkas semula, lagi 79 masih diburu

- Advertisement -

TAPAH – Polis menangkap 10 lagi tahanan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor pada Khamis lalu, sekali gus membawa kepada jumlah 51 berjaya diberkas semula, setakat jam 6.30 petang tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kesemua 10 tahanan terbabit adalah lelaki etnik Rohingya yang ditahan dalam ladang kelapa sawit di Kampung Senta, Bidor, kira-kira jam 3.00 petang tadi.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan sejumlah 253 anggota, termasuk 84 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah; Jabatan Imigresen Malaysia (41); Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (25); Pasukan Gerakan Am (37); K9 Bukit Aman (15); dan Unit Dron (tiga).

“Kejayaan ini adalah hasil gerakan pencarian oleh pasukan dan hasil maklumat orang awam. Jumlah tangkapan keseluruhan hingga kini ialah 51 tahanan.

“Penangkapan tahanan berkenaan dibuat di sekitar kawasan Bidor dan Tapah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, polis percaya masih ramai lagi tahanan yang lolos itu berada dalam kawasan hutan dan kampung sekitar Bidor serta Tapah.

Beliau berkata, orang ramai diminta bekerjasama dengan pihak polis untuk mengesan tahanan berkenaan, dan jangan sekali-kali membuat sebarang spekulasi yang boleh menyukarkan lagi situasi semasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tahanan terbabit, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah, Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani, melalui talian 017-3168097 atau Bilik Gerakan IPD Tapah (05-4011222).

Dengan perkembangan terbaru itu, seramai 79 lagi tahanan bolos masih diburu.

Dalam kejadian malam Khamis lalu, seramai 131 tahanan dilaporkan bolos dari blok lelaki depoh berkenaan, termasuk seorang yang kemudian maut akibat kemalangan jalan raya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat