‘Lu sapa?’ – MP Kota Melaka Persoal Autoriti Desakan Akmal

MELAKA – Pertikaian terbuka antara pimpinan DAP Melaka dan Ketua Pemuda Umno terus memanaskan suasana politik negeri apabila Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mempertikaikan kewajaran desakan supaya DAP menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Khoo, yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, menegaskan bahawa kehadiran DAP dalam pentadbiran negeri bukan keputusan sewenang-wenangnya, sebaliknya berpaksikan kepada kesepakatan politik yang dicapai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, penyertaan itu dibuat berlandaskan prinsip kerjasama dan tanggungjawab terhadap rakyat Melaka.

“Atas prinsip tersebut kita menerima dan berhasrat berkhidmat untuk rakyat… jadi apabila anda (penyokong DAP) tanya sekarang – ‘Akmal kata suruh kita keluar daripada Kerajaan Perpaduan’ – saya nak tanya, lu siapa?,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25, hari ini.

Mengulas lanjut, Khoo menegaskan bahawa urusan pelantikan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah hak mutlak Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan tidak berada di bawah bidang kuasa mana-mana pemimpin sayap parti lain.

Beliau turut mengingatkan bahawa keputusan berkaitan sokongan Umno terhadap kerajaan hanya boleh dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan bukannya Ketua Pemuda parti tersebut.

Dalam pada itu, Khoo berkata DAP tidak pernah meletakkan jawatan sebagai matlamat utama dalam penyertaan politiknya, malah bersedia memainkan peranan sebagai pembangkang sekiranya keadaan memerlukan.

“Kita tidak takut untuk bertanding secara bersendirian. DAP bukan parti yang gilakan jawatan atau kuasa,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat sebagai reaksi terhadap cabaran Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sebelum ini menggesa DAP supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan, khususnya di Melaka.

Difahamkan, gesaan itu dibuat susulan kritikan seorang Ahli Parlimen DAP dari Pulau Pinang yang mendesak Akmal meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Perpaduan negeri.

Isu berkenaan terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakan komponen Kerajaan Perpaduan dan menjadi perhatian pemerhati politik tempatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat