KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan injunksi oleh tokoh korporat Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi menghalang Bloomberg News menerbitkan atau menyebarkan kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadap dirinya.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Kan Weng Hin, susulan prosiding yang berlangsung pada Isnin.
Perkara itu disahkan peguamcara Farhash, Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co, menerusi kenyataan media yang memaklumkan prosiding undang-undang dimulakan anak guamnya terhadap Bloomberg News dan anak syarikat agensi itu di Malaysia.
Menurut kenyataan itu, tindakan undang-undang berkenaan diambil susulan ancaman penerbitan artikel yang didakwa mengandungi kenyataan palsu, tidak berasas dan berunsur fitnah terhadap anak guam mereka.
“Sebelum prosiding dimulakan, Farhash menerima komunikasi daripada Bloomberg News dan/atau wakilnya berhubung hasrat menerbitkan artikel yang mengandungi kenyataan serta dakwaan yang menurutnya tidak benar dan berunsur fitnah.
“Susulan itu, mahkamah membenarkan permohonan injunksi bagi menghalang Bloomberg News dan semua pihak daripada menerbitkan, menerbitkan semula, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan serta dakwaan berunsur fitnah yang dikenal pasti dalam prosiding itu, termasuk kenyataan seumpamanya berkaitan Farhash,” katanya memetik BH.
Farhash diwakili pada pendengaran itu oleh Aswath Ramakrishnan dan Nur Irdina Syahirah Mohammad Wardi daripada Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co.
“Memandangkan perkara ini kini dalam prosiding mahkamah, kami tidak berhasrat terbabit dalam sebarang perdebatan terbuka atau membincangkan merit prosiding menerusi media.
“Anak guam kami kekal komited untuk melindungi reputasinya dan mempertahankan haknya melalui saluran undang-undang yang sewajarnya. Sebarang pertanyaan media boleh diajukan kepada Aswath Ramakrishnan,” katanya.



