KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menegaskan tindakan saman sivil terhadap Malaysia Airlines Berhad dan Hijrah Biru Sdn Bhd (AMAL) bagi menuntut baki bayaran RM544,400 bukan semata-mata membabitkan wang, sebaliknya turut bertujuan membersihkan nama baik beliau serta barisan pengarah syarikat daripada persepsi negatif.
Beliau berkata, tindakan undang-undang yang difailkan oleh Rehla Travel Services Sdn Bhd itu susulan pertikaian berkaitan bayaran tiket penerbangan yang dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Menurutnya, Rehla Travel telah membuat pembayaran kepada Malaysia Airlines melalui Hijrah Biru dan mempunyai rekod transaksi lengkap sebagai bukti.
Bagaimanapun, meskipun sebahagian bayaran telah dipulangkan, masih terdapat baki RM544,400 yang belum diperoleh semula susulan penalti pembatalan tiket penerbangan.
“Kami telah membuat pembayaran kepada Malaysia Airlines melalui Hijrah Biru dan mempunyai rekod serta bukti transaksi yang lengkap.
“Kami juga mempunyai bukti penerimaan sebahagian bayaran balik daripada Malaysia Airlines. Namun, berdasarkan rekod kami, masih terdapat baki RM544,400 yang belum diperoleh semula,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fathul Bari menjelaskan, tindakan saman itu juga bertujuan memperbetulkan persepsi yang timbul susulan prosiding mahkamah terdahulu melibatkan tuntutan KRS Travel Sdn Bhd terhadap syarikat berkenaan.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak pernah berniat mengelak tanggungjawab membayar tuntutan KRS Travel, sebaliknya sedang berusaha mendapatkan semula wang yang telah dibayar kepada syarikat penerbangan terbabit.
Menurutnya, sekiranya tuntutan RM544,400 itu berjaya diperoleh, wang berkenaan boleh digunakan untuk menyelesaikan tanggungan kepada KRS Travel mengikut jumlah yang sepatutnya.
“Kami tidak mempunyai masalah untuk menyelesaikan tanggungan kepada KRS Travel Sdn Bhd.
“Kami bukan enggan membayar. Kami sedang berusaha mendapatkan semula wang yang telah dibayar supaya tanggungjawab dapat diselesaikan tanpa menanggung beban bayaran berganda,” katanya.
Dalam pada itu, Fathul Bari mempersoalkan kewajaran syarikatnya menanggung bayaran sekali lagi sedangkan pembayaran asal telah dibuat dan pembatalan penerbangan berlaku akibat pandemik COVID-19 yang berada di luar kawalan mereka.
Katanya, pihaknya memahami Malaysia Airlines mempunyai pendirian tersendiri berhubung penalti pembatalan, namun berharap keadaan luar biasa ketika pandemik turut diberikan pertimbangan sewajarnya.
“Persoalannya, adakah wajar kami menanggung bayaran sekali lagi sedangkan pembayaran asal telah dibuat dan pembatalan berlaku di luar kawalan kami?” soalnya.
Beliau turut menegaskan terdapat perbezaan antara pihak yang sengaja enggan membuat pembayaran dengan pihak yang telah melaksanakan pembayaran tetapi masih berusaha mendapatkan semula wang berkenaan bagi menyelesaikan tanggungjawab kepada pihak lain.
Sehubungan itu, beliau memilih saluran mahkamah bagi mengemukakan dokumen, rekod transaksi serta bukti pembayaran untuk dinilai secara adil.
Fathul Bari berkata, pihaknya menghormati proses dan keputusan mahkamah terdahulu serta tidak berhasrat menyalahkan mana-mana pihak atau mendahului keputusan tindakan sivil yang sedang diambil.
“Kami tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya memohon agar fakta, bukti pembayaran dan keadaan luar biasa akibat COVID-19 dinilai dengan adil.
“Biarlah mahkamah menentukan hak dan tanggungjawab setiap pihak.
“Kami tidak lari daripada tanggungjawab. Kami sedang berusaha menunaikannya, sambil mempertahankan hak, maruah dan nama baik kami melalui saluran undang-undang,” tegasnya.
Pertikaian tersebut kini menjadi asas tindakan sivil Rehla Travel terhadap Malaysia Airlines dan Hijrah Biru bagi mendapatkan semula baki RM544,400 yang didakwa masih belum dipulangkan.



