Oleh Zihan Zari
KAMPAR – Peribahasa ‘Melentur buluh biar dari rebungnya’ yang terkenal ini menitikberatkan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, merupakan fasa awal kehidupan dalam membangun jati diri serta potensi cemerlang sebelum mereka ke alam dewasa.
Dalam kerangka ini, seramai 20 tenaga pengajar dan 10 pelajar Diploma Kejuruteraan Mekatronik Politeknik Ungku Omar (PUO) turun padang melaksanakan ‘Program MechCare Protege’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Sahom, dekat sini baru-baru ini.
Mereka telah memberikan pengetahuan menerokai keajaiban dunia kejuruteraan mekatronik secara interaktif dengan aktiviti pembelajaran berasaskan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada 60 murid Tahap 2 (Tahun 4-6) SK Sahom.

Ternyata, kesemua pelajar SK Sahom yang terlibat dalam program ini begitu teruja sekali dengan aktiviti hands-on dan demonstrasi, kata Pengarah Program, Ts. Wan Hasbullah Wan Mohamed.
Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan ialah, Pengenalan Mekatronik, Pengenalan Asas Kawalan Drone, Pengenalan Arduino Kit, dan Kuiz Interaktif ,
Menurut beliau, objektif program ini diadakan adalah untuk mencetuskan minat dalam bidang TVET, serta memperkenalkan kerjaya bidang Kejuruteraan Mekatronik kepada generasi muda secara praktikal dan menyeronokkan.
Menurutnya lagi, penganjuran program ini adalah sebahagian daripada inisiatif khidmat komuniti PUO yang menyasarkan golongan cilik luar bandar bagi merapatkan jurang akses kepada pendidikan TVET.
“Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Guru Besar SK Sahom, Norlia Abdul Wahab dan murid atas sambutan yang hangat dan mesra, penglibatan mereka yang aktif dan bersemangat,”katanya.
Untuk rekod, mekatronik merupakan satu bidang ilmu yang menggabungkan disiplin ilmu mekanikal, elektrik, elektronik, kawalan dan pengaturcaraan untuk
menghasilkan suatu sistem yang berfungsi secara automatik.-SUARA.TV



