KOTA KINABALU – Pertikaian mengenai pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dikatakan menjadi pencetus utama perpecahan dalam gabungan itu.
Menurut Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, dua parti pengasas itu – Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) – kini secara rasmi tidak lagi bersama GRS selepas kepimpinan mereka memutuskan untuk menggunakan simbol parti sendiri pada PRN akan datang.
Keputusan kedua-dua parti tersebut berkait dengan mereka tidak mahu terikat dengan formula agihan kerusi yang sedang dimuktamadkan antara GRS dan PH.
“Mereka menyatakan hasrat untuk menggunakan lambang parti masing-masing. Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kerusi-kerusi yang turut ditandingi calon PH,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis (2 Okt).
PH jadi titik pertembungan
Jeffrey sebelum ini memberi amaran bahawa STAR tidak akan kekal dalam GRS sekiranya terlalu banyak kerusi negeri diserahkan kepada PH. Tindakan terbaru ini dilihat sebagai kemuncak kepada rasa tidak puas hati tersebut.
Bagi SAPP pula, Yong menegaskan beliau akan menunggu keputusan rasmi mesyuarat majlis tertinggi parti pada Sabtu ini, namun status keanggotaannya dalam GRS sudah terbatal secara automatik berikutan keputusan menggunakan simbol sendiri.
SuaraTV sebelum ini melaporkan PH telah diberi sekitar 20 kerusi oleh GRS yang sebahagiannya kerusi majoriti Bumiputera Bukan Islam dan Cina yang turut menjadi kawasan tumpuan STAR dan SAPP.
Walaupun kedua-dua parti merupakan parti berbilang kaum dan agama, namun STAR merupakan parti yang menumpukan kawasan bumiputera bukan Islam, manakala SAPP lebih tertumpu kepada kawasan pengundi majoriti Cina.
GRS terbentuk pasca PRN 2020
GRS bukanlah parti yang bertanding dalam PRN 2020, sebaliknya hanya dibentuk selepas PRN dan diperkuat selepas Pilihan Ryaa Umum (PRU) 2022, bagi mengubah susunan politik berikutan pembentukan kerajaan Persekutuan melibatkan PH dan Barisan Nasional.
Sebelum ini GRS merupakan Perikatan Nasional (PN) yang bekerjasama dengan BN bagi menumbangkan Warisan. – SUARA.TV



