Kenapa samseng politik yang kini di AS tak kepung White House, berdepan terus dengan Trump? – DAPSY tanya Akmal

KUALA LUMPUR – DAPSY menegaskan bahawa serangan peribadi, bahasa samseng dan politik kebencian yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh tidak membantu sesiapa pun dan hanya menyerlahkan sifat tidak matang dan pemikiran sempit Akmal.

Pemuda DAP dalam kenyataan berkata, isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu ditangani secara kolektif. Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim segera membuat kenyataan keras mengenai isu Global Sumud Flotilla (GSF), semua pihak termasuk ahli politik tidak harus menjadikan isu ini sebagai pentas untuk menonjolkan ego politik atau menguji siapa lebih hero.

“Sekiranya begitu hebat, kenapa samseng politik tersebut yang kini berada di Amerika Syarikat (AS) tidak mengepung White House dan berdepan dengan Trump secara terus?

“Tidak perlulah menunggu Sidang Kemuncak ASEAN memandangkan diri sendiri sudah berada di situ. Hentikanlah segala aksi hipokrit.

“Justeru DAPSY menyeru agar semua pihak terus kekal fokus kepada isu sebenar dan mendoakan agar semua tahanan khususnya warganegara Malaysia selamat, bukannya sibuk bertindak samseng dengan mencaci orang lain,” selar sayap pemuda DAP itu.

Dalam pada itu, DAPSY membidas sekeras-kerasnya hujah biadab Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dan kenyataan dangkal setiausahanya yang jelas menunjukkan bahawa mereka hanya ingin berlagak hero dan samseng serta tidak berniat untuk membantu pentadbiran Perdana Menteri dalam menyelamatkan sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla.

“Hakikatnya, kenyataan Ketua DAPSY Woo Kah Leong berhubung insiden Global Sumud Flotilla adalah jelas dan tepat, iaitu menyeru agar tiada pihak yang mengeruhkan keadaan dan semua harus berperanan sebagai benteng kepada PM yang sudahpun mengambil tindakan pantas dan tegas dalam usaha menyelamatkan tahanan, khususnya warganegara Malaysia.

“Malangnya, Akmal sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai samseng politik yang paling mudah terasa dan cepat koyak.

“Daripada berdiri teguh di belakang PM, Akmal memilih untuk mencerca dan menyerang pihak yang hanya menyeru bahawa Israel adalah musuh utama.

“Adakah Akmal tidak bersetuju dengan seruan Ketua DAPSY bahawa Israel adalah satu-satunya musuh di depan mata?

“Isu Global Sumud Flotilla adalah amat serius, maka yang diperlukan sekarang adalah kebijaksanaan pemimpin, serta empati terhadap keluarga tahanan, dan sokongan padu kepada PM dalam rundingan antarabangsa, bukannya gimik politik yang mengeruhkan keadaan,” tegas DAPSY lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat