WELLINGTON, – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington berjaya menganjurkan program kebudayaan bertemakan “Gemalai & Tenunan: A Cultural Immersion” di St. James Theatre, sempena sambutan Hari Malaysia ke-62.
Acara berprestij ini menghimpunkan pegawai kerajaan, wakil diplomatik, sektor swasta, komuniti rakyat Malaysia di New Zealand serta para pelajar.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni meliputi muzik tradisional, tarian, silat, selain pameran seni kreatif dan hidangan masakan Malaysia yang memikat selera tetamu.
Peserta turut berpeluang menyelami gabungan tradisi dan kemodenan Malaysia melalui pameran serta ruang interaktif yang menampilkan keunikan identiti negara.
Dalam ucapannya, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Tuan Yang Terutama Mazita Marzuki menegaskan bahawa Hari Malaysia bukan sahaja hari memperingati sejarah dan perjalanan negara, tetapi juga peluang untuk meneguhkan nilai kepelbagaian, ketahanan dan identiti bersama yang membentuk semangat Malaysia.
“Sambutan Hari Malaysia di New Zealand ini mengingatkan kita tentang persahabatan erat antara kedua-dua negara. Ia mencerminkan ikatan kukuh yang dibina atas nilai bersama, hubungan antara rakyat, serta visi sepunya demi keamanan, kemakmuran dan saling menghormati,” katanya.
Turut menyampaikan ucapan ialah wakil kerajaan New Zealand, termasuk Duta Besar Grahame Morton (Timbalan Setiausaha – Kumpulan Amerika & Asia, Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand) serta Menteri Mark Mitchell yang memegang beberapa portfolio utama termasuk Komuniti Etnik dan Sukan.
Hadir sama, Datuk Borhan bin Aman Shah, Exco Kerajaan Negeri Selangor (Perumahan & Kebudayaan), yang menzahirkan penghargaan kepada usaha mengangkat budaya Malaysia di pentas antarabangsa.
Ucapan tahniah turut disampaikan wakil kerajaan dan diplomat antarabangsa, yang mengiktiraf hubungan erat Malaysia–New Zealand dalam bidang pendidikan, perdagangan, budaya serta pertukaran rakyat-ke-rakyat.
Sambutan ini sekali gus memperkukuh rasa kebersamaan dalam kalangan diaspora Malaysia di New Zealand, selain meningkatkan kefahaman silang budaya antara rakyat kedua-dua negara.-SuaraTV



