Oleh Zihan Zari
SEPANG – Laungan keramat ‘merdeka’ kembali bergema oleh hampir 1,000 warga Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda (KDABB) dan penduduk sekitar di Dataran Tasik Baginda, sempena Hari Kebangsaan yang ke-67 pada Sabtu.
Mereka turut tidak ketinggalan mengambil peluang menyambut hari bersejarah itu dengan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan rasa cinta kepada negara.
Turut hadir, Penyelaras DUN Dengkil, Noorazli Said; Ahli Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Ahmad Rozaidi Rozali; Penghulu Mukim Dengkil, Muhamad Azaazrin Alias, dan Ketua KDABB, Ruzi Mat Juri.
Setiausaha Sahabat Sg. Air Hitam (SAH) KDABB, TPr Hj. Abdul Hamid Akub berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini untuk kali ke 4 diadakan di sini, pada kali ini dihadiri oleh seluruh warga KDABB dan penduduk sekitar dengan penuh semangat patriotisme dan cinta kepada negara dengan perasaan penuh bangga.
Beliau berkata, kemerdekaan bukanlah satu anugerah semata-mata, tetapi ia adalah satu tanggungjawab yang memerlukan semangat juang yang tinggi untuk menjaga dan mempertahankannya.
Menurutnya, sambutan ini yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) KDABB dengan kerjasama SAH KDABB dimeriahkan lagi dengan pelbagai acara menarik diadakan sepanjang hari.
Antaranya, perarakan Jiwa Merdeka, bacaan Puisi Merdeka, penghargaan warga emas (70 tahun ke atas), peraduan lukisan kanak- kanak, mengubah buah-buahan, pertandingan bantal air, tangkap itik di tasik, Rumah Merdeka, kenderaan berhias, bola jaring shooting dan pemeriksaan kesihatan.
Selain warga KDABB, kumpulan perarakan itu turut disertai oleh penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) termasuk penuntut antarabangsa.
Menurutnya lagi, Pasar tani merdeka oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) daerah Sepang dan produk hasil pertanian dan makanan turut dijual kepada penduduk setempat.
“Tasik Baginda KDABB dibuka sejak awal 2021 telah dirancang dan direkabentuk oleh Komuniti KDABB dan rakan strategik untuk dijadikan sebagai Taman Komuniti KDABB yang banyak memberi manafaat kepada komuniti setempat bagi menjalankan aktiviti seperti sambutan Hari Kebangsaan.
“Dataran Tasik ini dijadikan tempat perbariasan dan perhimpunan manakala Dataran Belia sebagai tempat aktiviti aktif seperti pasar, permainan dan ‘multi function area’.
“Selain itu, Dataran Wakaf pula dijadikan tempat rehat dengan pokok yang ditanam menyejuk dan mengindahkan taman manakala bench dan trek dijadikan tempat berehat dan berjalan dan tasik pula dijadikan tempat aktiviti bagi sukan air, ”katanya.
“Hasrat penduduk KDABB ialah menjadikan Sungai Air Hitam dan tasik takungan hujan sebagai suatu mercu tanda yang bersih, indah dan menarik untuk dikunjungi.
“Tasik Baginda sekarang telah berfungsi dengan sempurna ‘dari komuniti untuk komuniti’ dan hasil dari sumbangan penduduk mengeluarkan lebih RM100,000 membeli pokok, membuat struktur kekal dan penyelenggaraan untuk tujuan rekreasi, ”katannya lagi.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga KDABB, JPKK KDABB dan semua Rakan Strategik yang telah menjayakan Denai dan Tasik Baginda, KDABB sehingga kini. – SUARA.TV