2,903 pelajar lukis poster patriotik cipta rekod diiktiraf MBOR, BNM tawar aplikasi ‘MAG in Your Pocket’

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Program Bermalam di Muzium Perdana yang disertai 2,903 pelajar dengan lukisan poster berunsur patriotik, berjaya mencipta rekod ‘Largest Participation in Patriotic Themed Poster Making’ telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dilaksanakan secara serentak di seluruh negara melalui 33 buah muzium terdiri daripada 18 buah Muzium Persekutuan di bawah seliaan JMM, 9 buah Muzium Negeri dan 6 buah Muzium Institusi.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program permuziuman ini berteraskan warisan seni dan budaya yang berkonsepkan ‘karnival’ atau ‘fiesta’ yang mensasarkan penyertaan seluruh masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya dan kaum.

Aaron berkata demikian pada majlis perasmian penutupan Program Bermalam di Muzium Perdana 2024 di Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlangsung di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPN , Datuk Azman Mohd Yusof; Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim; Penolong Gabenor BNM, Abd. Rahman Abu Bakar; Ketua Pegawai Perkhidmatan BNM, Affendi Rashidi; Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria, dan Pengarah Muzium dan Galeri Seni BNM, Noreen Zulkifli.

Menurut Aaron, aktiviti ini salah satu inisiatif di bawah program Citra Nusa@Muzium, bertujuan menyuburkan semangat cinta pada tanah air selain memupuk apresiasi generasi muda ke atas warisan sejarah, seni dan budaya negara menerusi aktiviti permuziuman.

Beliau berkata, program ini dilakukan bersempena dengan bulan kemerdekaan dan mampu memberi impak lebih besar ke arah memperkasakan dan meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

“Pelajar diseru agar meningkatkan semangat patriotisme serta memupuk semangat perpaduan kerana sudah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kemerdekaan tanah air tercinta ini akan terus kekal dan dipertahankan.

“JMM misalnya mengambil inisiatif memperkenalkan program ‘Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium’ (IPIM) menerusi kerjasama dengan KPM dalam usaha memperkasakan mata pelajaran Sejarah dalam kalangan para pelajar,”katanya.

“Ini merupakan usaha kementerian untuk mempersiapkan mereka ke arah mendepani segala cabaran melalui penghayatan sejarah kerana kata pepatah ‘lebih banyak yang anda tahu tentang masa lalu, maka anda pasti lebih bersedia untuk masa depan.’

“Program seumpama ini, dapat diteruskan lagi bagi membantu usaha pihak kerajaan untuk membenihkan semangat patriotisme dan nilai perpaduan yang teguh dalam kalangan generasi muda hari ini, ”katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dato’ Marzunisham Omar berkata, Muzium memainkan peranan dalam pertumbuhan sosial dan intelektual dengan menyediakan ruang untuk pendidikan, pemeliharaan budaya, dan penglibatan masyarakat.

Menurut Marzunisham, penglibatan Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) dalam program ini mencerminkan komitmen BNM untuk merakyatkan muzium dan mendekatkan institusi ini dengan masyarakat.

Beliau berkata, program ini telah mendapat sambutan yang semakin meningkat, menunjukkan minat yang mendalam daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk terlibat secara langsung dengan sejarah dan seni budaya negara.

BNM bukan sahaja menawarkan pengalaman pembelajaran yang unik malah memupuk rasa cinta dan penghargaan terhadap warisan budaya negara, menjadikan BNM MAG sebagai pusat pendidikan yang relevan dan popular dalam kalangan rakyat.

“BNM menawarkan aplikasi ‘MAG in Your Pocket’ sebagai pembelajaran mudah alih tanpa batas yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira di mana mereka berada dalam memperluas akses dan inklusiviti kepada pendidikan kewangan.

“Melalui aplikasi ini membolehkan orang ramai mengakses maklumat mengenai galeri dan program BNM melalui peranti mudah alih seperti telefon bimbit dan tablet,”katanya .

“Selain BNM MAG mengajak orang ramai untuk mengenali lebih lanjut pameran koleksi, ‘Batik: Melirik Larik,’ yang mempamerkan 81 catan batik melalui lakaran kehidupan, karya seniman terkenal seperti Chuah Thean Teng dan Khalil Ibrahim.

“Pameran ini tidak hanya memperkukuhkan warisan budaya tetapi juga menggalakkan penghargaan dan pemahaman mendalam tentang seni dan budaya negara kita,”katanya lagi.

Menerusi kenyataan yang oleh JMM memaklumkan, program Bermalam di Muzium Perdana, menyuburkan minat generasi muda terhadap warisan bersifat tangible (ketara) dan intangible (tidak ketara) menerusi pendekatan rejuvanate muzium (meremajakan muzium) melalui seni dan teknologi.

“Program ini buat julung kalinya dipelopori oleh Muzium Negara pada 2005 berjaya merintis ke beberapa buah muzium lain di bawah pentadbiran JMM, malah turut tersebar dan menjadi ikutan muzium-muzium lain di seluruh negara,”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat