Pegawai Kerajaan Johor Beritahu British, Pulau Batu Puteh Bukan Milik Johor

KUALA LUMPUR – Kesalahan bermula dengan pegawai Kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor.

Demikian penjelasan bekas Perdana Menteri , Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kehilangan hak pemilikan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih.

Beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali “kenapa tuntutan kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ditarik balik pada Mei 2018, dua minggu sebelum tarikh bicara di The Hague?(Masa itu Kabinet belum lagi wujud dan penarikan tuntutan itu dibuat tanpa sebarang rujukan/keputusan Kabinet?

Jelas Mahathir, tuntutan kes Batu Putih ditarik balik kerana perjanjian dengan ICJ dan Singapura ialah segala keputusan oleh mahkamah akan diterima oleh kedua-dua pihak.

“Perjanjian yang sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan.

“Jika Malaysia tidak menepati dengan syarat mahkamah antarabangsa bahawa keputusan mesti diterima oleh kedua-dua pihak (Malaysia dan Singapura), Indonesia juga boleh buat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.

“Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti,” jawabnya.

Lagipun kata Mahathir, Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang.

“Kesalahan bermula dengan pegawai Kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor.

” Fakta baru, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih ialah hak Malaysia,” kata Mahathir.

Soalan ini dijawab berdasarkan hantaran Facebook Apandi.