SEREMBAN, — Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengesahkan pertemuan antara ADUN UMNO negeri itu bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memang berlaku seperti dilaporkan Malaysiakini.
ADUN berkenaan turut mengakui Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir dalam pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan laporan yang menggambarkan ADUN UMNO Negeri Sembilan tidak bersedia menjadi pembangkang adalah tidak benar dan hanya bersifat mainan persepsi.
“Pertemuan itu memang ada. Benar Datuk Seri Jalaluddin dan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir.
“Tetapi tidak benar jika dikatakan UMNO Negeri Sembilan tidak bersedia menjadi pembangkang. Itu mainan persepsi,” katanya kepada SuaraTV.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini yang mendakwa hampir semua ADUN UMNO Negeri Sembilan tidak bersedia menjadi pembangkang susulan keputusan parti untuk kekal bersama kerajaan perpaduan negeri.
Menurut ADUN BN itu, pendirian wakil rakyat BN Negeri Sembilan masih kekal bahawa isu utama bukan soal jawatan atau kedudukan dalam kerajaan, tetapi soal hilang keyakinan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Isu pokok bukan sama ada mahu jadi kerajaan atau pembangkang. Isu pokok ialah keyakinan terhadap Menteri Besar sudah hilang.
“Jika keputusan politik akhirnya menyebabkan UMNO berada di blok pembangkang, kami bersedia. Jangan gambarkan seolah-olah ADUN UMNO takut kehilangan kedudukan,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan bahawa ADUN UMNO tidak sanggup menjadi pembangkang cuba membina persepsi seolah-olah wakil rakyat BN Negeri Sembilan hanya mempertahankan kedudukan dalam kerajaan.
Katanya, persepsi itu tidak adil kerana pendirian yang dibuat sebelum ini berkait rapat dengan prinsip, urus tadbir negeri dan cara krisis membabitkan institusi adat Negeri Sembilan ditangani.
“Jangan jadikan isu pembangkang sebagai alat untuk mengalihkan perhatian daripada perkara sebenar.
“Kalau sekadar mahu kekal dalam kerajaan, sudah tentu kami tidak akan sampai ke tahap menyatakan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar,” katanya.
ADUN itu juga menegaskan pendirian yang diumumkan Jalaluddin sebelum ini masih menjadi asas kepada sikap politik BN Negeri Sembilan.
Katanya, semua pihak wajar melihat isu itu dalam konteks lebih besar, termasuk hubungan kerajaan negeri dengan institusi adat serta kegagalan Menteri Besar mengurus kemelut berkenaan secara berhemah.
“Pendirian kami jelas. Kami bukan menolak kerajaan perpaduan, tetapi kami hilang keyakinan terhadap Menteri Besar.
“Itu dua perkara berbeza yang tidak wajar dicampuradukkan,” katanya.
Menurutnya lagi, keputusan muktamad mengenai kedudukan UMNO dan BN dalam kerajaan negeri perlu dibuat melalui saluran parti, bukan berdasarkan naratif sumber tanpa nama.
Beliau berkata, sebarang laporan yang memberi gambaran kononnya ADUN UMNO Negeri Sembilan tidak bersedia menjadi pembangkang hanya akan mengelirukan rakyat dan menutup isu pokok sebenar.
“Kalau mahu bercakap soal pendirian ADUN BN, nyatakan dengan jelas siapa yang bercakap.
“Jangan gunakan sumber tanpa nama untuk membina persepsi seolah-olah kami takut menjadi pembangkang. Itu tidak benar,” katanya.
i



