Enam Dekad MARA Cerminan Keseimbangan Merit dan Keadilan Sosial — PM

KUALA LUMPUR, — Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak wajar dilihat sekadar sambutan institusi, sebaliknya sebagai cerminan perjalanan panjang gagasan pembangunan negara yang menyeimbangkan antara merit, keadilan dan tanggungjawab sosial.

Dalam hantaran di Facebook, beliau berkata perbincangan berhubung dasar ‘affirmative action’ masih relevan dan sering menjadi polemik, namun tidak boleh dinilai secara sempit atau simplistik tanpa mengambil kira realiti semasa.

Menurut beliau, kritikan seperti konsep ‘tyranny of merit’ yang dikaitkan dengan pemikir ekonomi Thomas Sowell tidak boleh diterima secara mutlak tanpa pertimbangan objektif. Sebaliknya, pendekatan yang menekankan keadilan sosial seperti yang dibawa John Kenneth Galbraith menunjukkan bahawa keadilan bukan sekadar retorik, tetapi satu keperluan struktur bagi memastikan masyarakat tidak terperangkap dalam kitaran peminggiran.

“Dasar keadilan mesti diketengahkan, bukan untuk menafikan merit, tetapi untuk membetulkan jurang yang telah lama melebar,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada gagasan ‘justice as fairness’ oleh John Rawls yang menekankan bahawa keadilan hanya bermakna jika akses yang saksama dapat diwujudkan.

Dalam konteks pendidikan, Anwar mempersoalkan keadilan persaingan antara pelajar bandar dan luar bandar sekiranya peluang asas tidak disediakan secara seimbang, khususnya melibatkan kawasan pedalaman seperti Kapit, Manik Urai, Hulu Kelantan dan Hulu Pahang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan MARA akan terus berperanan sebagai wahana pemerkasaan rakyat melalui pendidikan, keusahawanan dan mobiliti sosial, tanpa mengira latar belakang atau geografi.

“Keutamaan adalah memastikan setiap anak bangsa mampu bangkit dengan maruah dan daya saing yang mantap,” katanya lagi.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat