Oleh: Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan berkolaborasi dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui pendekatan bersama dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalanraya di Malaysia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KKR menyebut, sesi libat urus telah diadakan di sini pada Isnin, dihadiri oleh Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri KPKT, Datuk Hjh. Aiman Athirah Sabu.
Beliau berkata, bidang kuasa jalan dan penguatkuasaan yang terletak di bawah tiga kementerian ini adalah saling berhubung kait dan memerlukan sinergi yang padu dalam mengatasi isu keselamatan jalan raya.
Katanya, sesi ini mencari mekanisme terbaik menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing akan diperhalusi sebelum tindakan strategik dilaksanakan di bawah payung program MYJalan.
Perkara lain yang turut dibincangkan dalam sesi libat urus ini termasuklah pengukuhan kerjasama antara kementerian bagi menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya yang diterima melalui aplikasi MYJalan yang diluncurkan oleh Perdana Menteri pada 24 Ogos 2023.
Menurutnya, aplikasi ini bertindak sebagai pemudahcara kepada pengadu dengan menerima semua jenis aduan selaras dengan konsep ‘No wrong door policy’.
Menurutnya lagi, sehingga 29 Mac lalu aplikasi ini menerima 13,391 aduan berkaitan isu jalan raya dan statistik menunjukkan, 26.51% adalah aduan jalan milik KKR, selebihnya sebanyak 73.49% pihak lain.
Justeru, sesi ini amat signifikan dalam memastikan aduan pengguna dapat diselesaikan dengan penglibatan serius pemilik jalan yang lain demi memastikan keselesaaan dan keselamatan pemanduan rakyat.
Beliau menjelaskan, perbincangan di antara KKR, MOT dan KPKT ini terarah kepada cadangan penubuhan jawatankuasa bertindak, terdiri daripada semua wakil pemilik jalan raya, akan melaporkan status tindakan penyelesaian bagi aduan secara berkala.
“Jawatankuasa ini akan memperhalusi setiap cadangan, isu dan cabaran yang telah dibentangkan oleh wakil setiap kementerian dan agensi pada sesi kolaborasi ini,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sinergi pelbagai pihak ini membuktikan KKR terus komited dalam memperkasakan dan merakyatkan program MYJalan sebagai satu agenda bersama di peringkat nasional.
“Isu penyenggaraan jalan akan menjadi fokus KKR dalam mengurus infrastruktur awam kerana impaknya bukan sahaja dari segi aspek kewangan negara tetapi yang lebih utama adalah nyawa pengguna,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha (KSU) KKR, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam; KSU MOT, Dato’ Jana Santhiran Muniayan; Timbalan KSU KKR , Datuk Zahrul Hakim Abdullah; Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Dato’ Ir. Haji Badioezaman Ab Khalik; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya (LLM) , Dato’ Ir. Sazali Harun dan Pengarah Kanan Cawangan Jalan, JKR, Dato’ Ir Ibrahim Esa dan pegawai tertinggi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). – Suara.TV