Usaha hentikan ketirisan, salah guna kuasa dan perangi rasuah jadi tunjang utama Kerajaan MADANI – Anwar

BUKIT BERUNTUNG, — Perdana Menteri menegaskan usaha menghentikan ketirisan, salah guna kuasa serta memerangi rasuah menjadi tunjang utama pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas mengadakan pertemuan bersama sahabat lama dan rakan seperjuangan Otai Reformis di Bukit Beruntung, petang tadi.

Menurutnya, perjuangan reformasi yang digerakkan sejak sekian lama bukan bertujuan mengangkat mana-mana individu, sebaliknya menuntut perubahan terhadap sistem negara yang disifatkan sebagai usang dan rosak, sehingga membolehkan segelintir pimpinan lama mengaut kekayaan untuk diri dan keluarga, sementara rakyat terus menanggung beban.

Beliau berkata, walaupun jawatan perdana menteri dan menteri silih berganti, tuntutan sebenar rakyat adalah pembaharuan sistem yang adil, telus dan berintegriti.

Anwar turut menghargai peranan Otai Reformis yang disifatkan sebagai tulang belakang perjuangan reformasi, meskipun berdepan tekanan dan kezaliman pemerintah terdahulu, sehingga akhirnya mandat rakyat diberikan kepada kerajaan hari ini untuk mentadbir dan melaksanakan agenda reformasi.

Sejak diberi amanah mentadbir, katanya, kerajaan telah memulakan langkah reformasi penting termasuk menghentikan amalan rundingan terus, membetulkan tatakelola serta memastikan pengurusan dan perolehan kewangan negara dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan reformasi masih belum sempurna dan memerlukan masa, kesabaran serta kebijaksanaan, termasuk dalam rundingan dengan rakan gabungan dan parti-parti lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan kebajikan Otai Reformis yang setia berjuang sejak awal tidak akan dipinggirkan dan akan terus diberi keutamaan oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat