CYBERJAYA, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius aduan orang awam berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di platform X, termasuk penggunaan alat tersebut untuk memanipulasi imej wanita dan kanak-kanak sehingga menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau berunsur memudaratkan.
Menurut kenyataan media MCMC hari ini, penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), yang antara lain melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi bagi tujuan menghantar kandungan lucah, sumbang atau jelik melampau .
Sehubungan itu, MCMC memaklumkan bahawa pihaknya akan memulakan siasatan terhadap pengguna platform X yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang berkenaan.
Dalam kenyataan sama, MCMC turut menjelaskan bahawa penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) mewajibkan platform dalam talian serta penyedia perkhidmatan berlesen mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk kandungan lucah, tidak senonoh serta bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Walaupun platform X bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini, MCMC menegaskan bahawa platform tersebut tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian yang terpakai di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan berbahaya. MCMC turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat bentuk kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform tersebut dan akan memanggil wakil platform berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Selain itu, MCMC menggesa semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang negara dan piawaian keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan fungsi AI, chatbot serta aplikasi manipulasi imej.
Orang ramai dan mangsa turut dinasihatkan agar melaporkan sebarang kandungan memudaratkan kepada platform terlibat serta membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian MCMC.



