LAIN MACAM 2025 : 18 arca seni dipamerkan di Galeri Balai Seni Negara Langkawi sehingga 30 April ini

Oleh Zihan Zari

LANGKAWI – Orang ramai dan peminat seni berpeluang menyaksikan sebanyak 18 arca seni yang sedang dipamerkan di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi sehingga 31 April ini bersempena Program Langkawi International Marble Art Camp 2025 (LAIN MACAM 2025).

LAIN MACAM 2025 melibatkan penyertaan seramai 18 orang artis tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Thailand, Singapura, Indonesia, China, Jepun, India, Nepal dan Jordan.

Antaranya, Subri Ismail, Muhammad Idrus Mohd Rani, Shu Ogasawara, Laxman Bahadur Gharti, Nai Vongsuthep Wong Sowat @ Timothy Vongsuthep, Tugiman S. Sn, Yeo Chee Kiong, Chandrashekar Koteshwar, Shaik Azgharali, Shu Wei Chang, Jiang Meng Si, Jing Yibing, Abd. Hamid Muhamad, Anees Yasin Mohammad Maani, Ryo Wakabayashi, Kazutaka Shioi, Prof. Jehabdullah Jehsorhoh serta Muhammadtoha Hayi Yusof.

Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan penglibatan rentas negara ini bukan sahaja memperkukuh jaringan seni arca di peringkat antarabangsa, malah memartabatkan batu pualam Langkawi sebagai bahan seni bertaraf global.

Program LAIN MACAM 2025 berlangsung dari 19 Disember hingga 28 Disember lalu di Gunung Raya Art Space (GRAS), telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; pegawai-pegawai kanan MOTAC; wakil jabatan dan agensi, rakan kerjasama, serta para penggiat seni.

“LAIN MACAM 2025 merupakan seni arca bertaraf antarabangsa yang mengangkat batu pualam Pulau Langkawi sebagai bahan teras dalam penghasilan karya, sekali gus memperlihatkan keindahan alam semula jadi dalam bentuk ekspresi seni kontemporari,”kata kenyataan itu.

“Bagi memeriahkan penganjuran LAIN MACAM 2025, beberapa program sokongan disediakan termasuk bengkel seni seperti Marble Detailing Art Workshop yang dikendalikan oleh Muhamad Fatihad Fabillah dan Mini Sculpture Art Workshop oleh Nazri Abdullah.

“Bengkel-bengkel ini bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada peserta dalam teknik pengolahan seni arca batu pualam, sekali gus mengasah kemahiran serta kreativiti mereka dalam bidang seni kontemporari, ”katanya.

Dalam pada itu, Balai Seni Negara Cawangan Langkawi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan kerjasama, iaitu Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Bon Ton
Resort Langkawi atas sokongan yang diberikan terhadap penganjuran program ini.

Ujarnya, penganjuran program ini dapat terus memperkukuh peranan Balai Seni Negara Cawangan Langkawi sebagai platform utama dalam pembangunan seni arca kontemporari, serta menjadi ruang bagi penggiat seni menzahirkan kreativiti mereka melalui penghasilan karya berasaskan batu pualam, permata alam yang menjadi identiti unik Langkawi.

Dalam majlis yang sama, Shaharuddin turut merasmikan Program Sebab Boleh : NAT Ubah Suai, yang berlangsung di Maha Tower, dekat sini pada 25 hingga 27 Disember lalu.

Tambahnya, dengan penganjuran kedua-dua program ini, Balai Seni Negara Cawangan Langkawi terus membuka ruang kepada orang ramai untuk meneroka dan menghayati karya seni kontemporari yang dihasilkan oleh penggiat seni tempatan dan antarabangsa.
-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat