Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Kedah menyasarkan kehadiran kira-kira lebih 7 juta pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang tahun ini bagi meneroka keindahan alam semulajadi, kekayaan budaya dan keunikan yang ditawarkan oleh negeri Jelapang Padi ini.
Sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Kedah sebagai destinasi pelancongan pilihan, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), kata EXCO Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Hj. Dzowahir Ab. Ghani.
Dzowahir berkata sasaran itu realistik berdasarkan rekod tahun lepas dengan catatan kehadiran kira-kira 38.3 juta pelancong ke Malaysia manakala bagi Negeri Kedah pula sebanyak 7 juta pelancong, melebihi jangkaan yang telah ditetapkan. Ini menunjukkan kehadiran pelancong ke negeri ini mendapat sambutan yang memberansangkan selain mempunyai daya tarikan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyambut para penumpang sempena Acara Sambutan Di Pintu-Pintu Masuk Di seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama Sempena VM2026 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dekat sini, pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pembangunan), Dato’ Hj. Mohd Fauzi Mustaffa; Pengurus Besar Kedah Tourism, Zaidy Omar; dan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Jamilah Abdul Halim.
Dzowahir berkata majlis sambutan ini melambangkan satu permulaan yang positif dan berterusan bagi perkembangan industri pelancongan negeri Kedah, selari dengan pelaksanaan kempen VM2026.
Menurut beliau sebanyak 80 peratus (%) pelancong luar negara yang berkunjung ke Pulau Langkawi kebanyakannya dari Thailand, ini merupakan satu pencapaian yang baik menunjukkan bahawa usaha kerajaan telah menampakkan hasil.
“Insya-Allah, pada tahun ini kita akan menambahbaik kekurangan yang ada dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat bagi memastikan dan meningkatkan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia khususnya Kedah.
“Kerajaan Negeri akan memperkukuh usaha promosi, sekali gus memacu pembangunan pelancongan secara mampan dan berdaya saing, selain itu pemacu utama ekonomi negeri yang menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan, pertumbuhan perniagaan serta peningkatan pendapatan rakyat,”katanya.
“Sempena cuti persekolahan pada 2025, pelancong bersesak-sesak ke Langkawi dan hampir 90% tempat penginapan telah ditempah, ini menunjukkan tanggapan bahawa kononnya jumlah pelancong ke Pulau Langkawi kian merosot adalah tidak benar.
“Kerajaan Negeri komited untuk memposisikan Kedah sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menyeluruh, seimbang dan saling melengkapi dengan Pulau Langkawi sebagai salah satu tarikan utamanya, ”katanya lagi.
“Kedah menawarkan kepelbagaian produk pelancongan yang merangkumi pelancongan bandar, alam semula jadi, warisan, agro-pelancongan dan pelancongan berasakan komuniti setempat. Penawaran ini bukan sahaja tertumpu di Pulau Langkawi, malah turut meliputi kawasan tanah besar Kedah yang kaya dengan keunikan dan potensi tersendiri.
“Pelancong ke negeri ini memilih untuk melancong di kawasan kampung, desa dan pedalaman bagi mendapatkan suasana santai dan tenang bersama keluarga. Lokasi pelancongan seperti ini sudah pasti dapat menarik pelancong terutamanya dari luar negara. Mai lah (datanglah) ke Kedah kerana orang Kedah baik-baik dan suka menyambut kehadiran tetamu,”ujarnya.
Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri yakin bahawa pembangunan pelancongan yang inklusif dan mampan akan memberi manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.
“Sambutan ini jelas mencerminkan peranan strategik lapangan terbang ini sebagai gerbang udara utama ke Kedah, khususnya dalam menyokong pergerakan pelawat domestik dan serantau,”tambahnya.
Terdahulu, Dzowahir menyantuni dan meraikan para penumpang yang tiba di LTSAH sempena TMM2026 serta menyaksikan kehadiran dan penampilan rasmi maskot rasmi VM2026 Wira dan Manja, maskot beruang matahari yang melambangkan identiti, keramahan dan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.- SUARA.TV



