PASIR GUDANG, — Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim, melontarkan amaran keras bahawa UMNO berdepan risiko terus menggelungsur ke dasar jika Pergerakan Pemuda parti itu gagal menjadikan agenda memerangi rasuah dan mengembalikan demokrasi dalaman sebagai keutamaan mutlak.
Dalam satu tulisan bersempena Konvensyen Pemuda UMNO hari ini, Hasan menegaskan bahawa inisiatif Pemuda UMNO di bawah pimpinan Datuk Dr Akmal Salleh adalah langkah penting menghidupkan semula budaya demokrasi bersuara dalam parti yang menurutnya telah lama “mati dari dalam”.
Beliau mengingatkan bahawa kemerosotan UMNO bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya bermula sejak Pilihan Raya Umum 2008, disusuli kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen pada 2013, tumbangnya kerajaan Persekutuan pada 2018 dan kemerosotan terburuk pada PRU 2022 apabila UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen.
Menurut Hasan, kejatuhan itu berpunca daripada dua faktor utama iaitu gejala rasuah dalam kalangan elit kepimpinan serta amalan autokratik yang mematikan demokrasi dalaman parti, berbeza dengan era awal UMNO yang dipimpin tokoh-tokoh berlatarkan perundangan dan menjunjung kebebasan bersuara.
Walaupun mengakui beliau bukan ahli UMNO, Hasan berkata pendiriannya didorong oleh realiti bahawa UMNO masih menjadi parti politik terbesar orang Melayu di peringkat akar umbi serta hubungan peribadinya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkannya sebagai sahabat lama sejak zaman mahasiswa.
Bagaimanapun, Hasan menegaskan Pemuda UMNO tidak seharusnya muncul sebagai benteng mempertahankan pemimpin yang terpalit dan disabitkan kesalahan berkaitan skandal 1MDB, yang menurutnya telah membebankan negara dengan hutang berpuluh bilion ringgit untuk diwarisi generasi akan datang.
Beliau menolak cadangan agar UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya menegaskan konvensyen Pemuda hari ini perlu menjadi medan menuntut Mesyuarat Agung Khas bagi membuka laluan pemilihan Presiden UMNO secara adil, bersih dan terbuka.
Hasan menegaskan “jihad sebenar” Pemuda UMNO ialah melaksanakan strategi dua serampang menentang rasuah tanpa kompromi dan mengembalikan demokrasi dalaman dengan memastikan jawatan Presiden UMNO dipertandingkan secara bebas.
Jika langkah itu berani diambil, beliau berkata Pemuda UMNO pimpinan Dr Akmal akan tercatat dalam sejarah sebagai generasi yang menyelamatkan UMNO daripada terus terbenam dan mengembalikannya sebagai wadah politik Melayu dan Islam yang relevan.



