KUALA LUMPUR – Pas kini sedang bermain politik berbahaya “Squid Games” iaitu sebuah rancangan besar politik mereka untuk menghapuskan musuh politik bagi mendapatkan kuasa dengan apa cara sekalipun biarpun mampu menggugat Perlembagaan Persekutuan, mata pencarian ekonomi rakyat dan juga perpaduan negara.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa rancangan ini ditonjolkan dengan perhimpunan solidariti mereka bersama Umno pada 6 Januari 2025 bagi membela bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib, yang telah dipenjarakan berhubung skandal 1MDB.
Kata Guan Eng lagi, beliau juga tidak akan menyertai perhimpunan ini apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) sendiri telah menggariskan secara terperinci proses wajar Perlembagaan yang mesti dipatuhi dalam pemberian pengampunan untuk menyempurnakan pelaksanaan kuasa mengikut budi bicara mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai bekas Menteri Kewangan juga, saya menjadi saksi kerugian kewangan yang besar yang dialami oleh negara akibat daripada skandal kewangan 1MDB yang bernilai RM52 bilion.
Guan Eng malah berkata Bersatu, sekutu kuat Pas dalam Perikatan Nasional (PN) telah menyatakan kekecewaan terhadap mereka kerana menghadiri perhimpunan solidariti untuk Najib dengan Umno.
“Pas juga tidak terlepas daripada menghapuskan Bersatu, sekutu politik mereka, apabila apa keperluan untuk berbuat demikian.
“Dari awalnya menuntut Najib ditangkap dan didakwa berhubung skandal RM52 bilion 1MDB pada 2018 hingga kini membuat pusingan-U tanpa mengambil kira proses undang-undang seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pas telah menonjolkan ketidakjujuran mereka sendiri dalam prinsip dan juga tidak bertanggungjawab dalam taktik mereka,” dakwa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Justeru Guan Eng berkata, atas sebab ini jemputan Ketua Penerangan Pas yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari kepada beliau untuk menghadiri perhimpunan solidariti untuk Najib pada 6 Januari ini adalah satu langkah politik yang tidak masuk akal, tidak berprinsip, membelakangkan proses kedaulatan undang-undang perlembagaan, hipokrit dan oportunis.
“Saya menolak pelawaan Pas kepada saya untuk menghadiri perhimpunan 6 Januari tatkala Pas mengadakan perhimpunan bantahan hari ini untuk membuli dua Menteri DAP Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh atas dakwaan palsu mereka bahawa umat Islam berasa terancam dengan sambutan Krismas yang diadakan oleh Kor ,Ming dan juga kepercayaan agama sebagai seorang Kristian yang dipegang oleh Hannah.
“Pemimpin DAP berdiri dalam solidariti dan menyokong kedua-dua Kor Ming dan Hannah atas percubaan berbahaya oleh Pas menggunakan kenyataan mengelirukan untuk mencetuskan sentimen agama dan menimbulkan ketidakharmonian yang bercanggah dengan hak asasi kebebasan beragama yang termaktub di dalam Perlembagaan,” tegas beliau.
“Fadhli harus berhenti daripada berpura-pura bahawa dia adalah tonggak Perlembagaan berhubung keadilan.
“Tiada siapa yang akan melupakan percubaannya untuk membuli calon wanita kita bagi PRK Kuala Kubu, Pang Sock Tao, dengan mempersoalkan keputusannya untuk SPM hanya kerana dia berasal dari sekolah Cina.
“Apabila Pang mendedahkan keputusan SPM sebagai pelajar yang peoleh semua A, Fadhli hanya menikus dan sehingga hari ini tidak berani mendedahkan keputusan SPMnya sendiri. Sock Tao kemudiannya berjaya memenangi pilihan raya kecil itu dengan meyakinkan apabila memperoleh majoriti yang lebih besar dari segi peratusan,” katanya.