KUALA LUMPUR – Solidariti Pas bukan bermakna menyokong kleptokrasi sebaliknya menuntut supaya prinsip keadilan berteraskan Perlembagaan diterapkan secara adil dan tidak berat sebelah, tegas Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari.
Kata beliau, salah satu isu yang dipersoalkan oleh Lim Guan Eng adalah mengapa Pas bersolidariti untuk Datuk Seri Najib Razak. Jawapannya mudah—Pas tidak membela kesalahan, tetapi memperjuangkan keadilan.
“Pas berpandangan bahawa setiap individu, termasuk Najib, berhak mendapat keadilan yang saksama, termasuk peluang mendapatkan pengampunan, jika memenuhi syarat perundangan.
“Jika ada kes yang boleh diselesaikan melalui kaedah politik atau pengaruh kuasa eksekutif, mengapa satu pihak boleh diberi layanan istimewa sementara yang lain dibiarkan begitu sahaja?
“Nampaknya Guan Eng begitu sibuk mengalihkan perhatian rakyat dengan menuduh Pas sebagai peserta Squid Game politik. Namun, ironinya, DAP sendiri adalah peserta yang sedang bersaing untuk terus bertahan dalam arena politik yang semakin mencabar. Jika dilihat dengan jujur, langkah-langkah politik DAP kebelakangan ini menunjukkan bahawa mereka sebenarnya adalah pemain yang hampir tersingkir daripada permainan ini,” kata Fadhli dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, jika DAP benar-benar mahu mempertahankan integriti, mereka sepatutnya bersuara dalam semua kes ketidakadilan, bukan hanya apabila ia menguntungkan agenda politik mereka.
“Jika benar (dan sememangnya semua pihak yakini) bahawa titah adendum itu wujud, maka kenapa nafikan beliau untuk mendapatkan haknya? Dan sesungguhnya andainya mana-mana individu termasuklah Guan Eng sendiri dinafikan haknya menurut perlembagaan, Pas akan berdiri membela,” tegas beliau.
Sebagai reaksi balas kepada Guan Eng, Fadhli berkata dalam Squid Game, mereka yang tidak jujur dengan diri sendiri akhirnya kecundang.
“Begitu juga DAP. Ketika mereka menyertai kerajaan perpaduan, rakyat menanti untuk melihat sejauh mana prinsip integriti mereka diaplikasikan. Namun, pelantikan ke Kabinet seorang individu yang sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah telah membuka pekung hipokrasi mereka.
“DAP yang dahulunya lantang mengkritik politik “kleptokrasi” kini memilih diam. Diam demi apa? Demi kedudukan dalam Kabinet. Bukankah ini contoh klasik peserta Squid Game yang sanggup mengetepikan prinsip untuk terus bertahan dalam permainan? soalnya.
Kata Fadhli lagi, setiap kali mereka cuba melangkah dengan retorik integriti, “lampu merah” menyala apabila rakyat mempersoalkan tindakan mereka yang bercanggah dengan janji sebelum ini.
“DAP yang selama ini melaungkan integriti kini terperangkap dengan tindakan yang jelas bertentangan. Pelantikan ahli Kabinet yang masih didakwa di mahkamah, walaupun atas arahan Perdana Menteri, mencerminkan bahawa DAP bukan lagi pembawa agenda perubahan yang mereka laungkan selama ini.
“Hakikatnya bukanlah semua pemimpin-pemimpin dan wakil-wakil rakyat DAP itu bermasalah. Bukan tiada orang yang baik dan boleh berbincang dengan objektif terutama generasi pelapis pimpinan yang muda. Bahkan ada yang kita boleh berbicara dari hati ke hati. Tetapi, selagi dasarnya dipandu oleh beberapa kartel lama, ia akan kekal begitu,” katanya.