KUALA LUMPUR – Konflik berbangkit antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng disifatkan sebagai hanya isu kecil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu yang timbul itu bukan menjadi satu masalah besar.
“Soal Guan Eng itu tidak ada masalah, (setakat) mahu buat statement..
“Kita redakan, sikit-sikit sahaja,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Lestari Niaga Madani @ Wirawati pada Jumaat.
Presiden Umno pada Khamis mengingatkan Guan Eng supaya tidak menyinggung parti yang bersama dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.
Katanya, zaman pemimpin DAP itu sudah berlalu dan seharusnya Ahli Parlimen Bagan terbabit memberi kepercayaan kepada pimpinan baharu parti berkenaan.
Kenyataan Zahid itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Guan Eng sebelum ini yang mengingatkan Umno sebarang program bersama parti pembangkang khususnya Pas akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, Guan Eng yang juga pengerusi DAP itu memberi amaran bahawa kerjasama antara UMNO dan Pas dalam perhimpunan solidariti untuk Najib boleh menimbulkan keraguan terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan.
Menurut Guan Eng lagi, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan politik malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan UMNO dalam membentuk kerajaan pada 2022 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.