KUALA LUMPUR- Letak menteri-menteri yang boleh berfungsi di kementerian-kementerian yang penting manakala beberapa menteri yang dinilai culas dan tidak efektif dicadangkan untuk ditukar portfolio,” pendapat itu disuarakan oleh Penganalisis Politik dan Geostrategis, Dr Azmi Hassan.

Katanya, beberapa menteri yang dianggap culas dalam melakukan tanggungjawab mereka terutamanya ketika negara berdepan bencana ini telah memberi satu persepsi buruk terhadap kecekapan kerajaan.

Hal demikian katanya, imej negatif yang dipaparkan itu juga turut tempias kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Rombakan Kabinet sukar dilakukan dalam keadaan sebegini kerana Kabinet yang diwarisi oleh Datuk Seri Ismail Sabri adalah Kabinet lama, malah baru beberapa hari lepas Kabinet yang sama ini juga mendapat markah 90 peratus jadi untuk rombakan Kabinet kerana untuk menyempurnakan supaya Kabinet itu lebih efektif amat sukar dilakukan kerana ambil kira keadaan semasa politik.

“Kabinet sekarang kerana politik, bukan kerana kepakaran ataupun kecekapan masing-masing,” katanya kepada Suara.TV pada Isnin.

Azmi menegaskan, pada ketika ini hanya satu, dua saja menteri efektif.

“Jadi menurutnya jika rombakan dilakukan ketika ini ia akan mengakibatkan kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lemah. Apatah lagi Pakatan Harapan (PH) menyatakan mereka nak menarik balik MOU… ia mengundang ketidakstabilan kerajaan.

“Oleh itu, daripada rombak lebih baik dilakukan pertukaran menteri ada beberapa menteri tak boleh melakukan tugas, letak di mana pun mereka itu mereka tidak mampu melakukan tugas jadi lebih baik.

“Saya bagi analogi Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menteri begini letak di mana pun boleh berfungsi kerana dia ada kelebihan ini. Jadi letak menteri-menteri yang boleh berfungsi itu kementerian-kementerian yang penting,” syor beliau.

Tambhanya, untuk merombak Kabinet memerlukan kekuatan politik, tidak dapat dinafikan Ismail Sabri tidak mempunyai mandat dan kekuatan itu kerana beliau hanya mewakili UMNO sahaja.

Malah kata Azmi, untuk tukar menteri UMNO saja pun beliau akan mendapat kesulitan dan tentangan daripada UMNO sendiri apatah lagi untuk menukar Menteri PAS dan Bersatu kerana perhitungan politik itu perlu diambil kira jadi buat pertukaran dua tiga menteri sahaja yang tidak efektif.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, tiada seorang menteri pun berprestasi buruk sepanjang masa sejak mereka dilantik.

“Dalam konteks itu saya lihat Perdana Menteri tidak mempunyai sebab kukuh untuk menukar menteri-menteri tersebut. Pun begitu kelemahan yang beberapa orang menteri tunjukkan ketika musim banjir sekarang memang mengecewakan. Namun saya lihat Perdana Menteri hanya akan menegur dan memberi amaran.

“Pada masa yang sama saya lihat seorang dua menteri yang nampak tidak kompeten mungkin akan ditukar porfolio mereka dan tidak disingkirkan.

“Menteri-menteri yang tidak turun mengunjungi rakyat mungkin mempunyai sebab-sebab tertentu. Maka kita serah kepada Perdana Menteri untuk menentukan nasib mereka,” ujarnya.

Perlu diingat juga katanya, bahawa komposisi Kabinet juga bergantung kepada keperluan politik kerajaan semasa kerana kerajaan semasa terdiri dari gabungan pelbagai parti politik.

“Dengan majoriti yang tipis di Dewan Rakyat, Perdana Menteri mungkin tidak mahu menggegarkan kestabilan kerajaan dengan membuang menteri dari parti-parti tertentu kerana kesan yang lebih besar akan berlaku.

“Jadi secara amnya, pertukaran menteri-menteri Kabinet hanya spekulasi dan tidak begitu jelas sama ada wujud ura-ura tersebut,” kata Nik Ahmad Kamal.