Syarikat Pemula Singapura Bangunkan Aplikasi Pantau Kesihatan

- Advertisement -

SINGAPURA: Hanya dengan memegang telefon di depan muka selama beberapa minit, kadar denyutan jantung, paras oksigen, kadar pernafasan dan tahap tekanan dapat dibaca dengan ketepatan ikut piawai perubatan.

Itu yang dijanjikan oleh syarikat pemula kesihatan Singapura, Nervotec menerusi aplikasinya, yang mengesan tanda penting kesihatan pengguna dengan mengkaji bagaimana pemantulan cahaya dari wajah pengguna berubah mengikut pengaliran darah di bawah kulit.

Aplikasi mudah alih itu boleh digunakan di hampir semua telefon pintar yang dilengkapi dengan kamera hadapan. Ia kemudian menyalurkan data melalui enjin kecerdasan buatan untuk mengira skor kesihatan pengguna secara keseluruhannya.

Skor kesihatan yang buruk mungkin menandakan penyakit, tekanan yang berlebihan atau mungkin juga jangkitan COVID-19. Ini kerana beberapa pesakit COVID-19 diketahui menunjukkan keadaan yang disebut sebagai hipoksia senyap, apabila kadar oksigen turun dengan begitu perlahan sehingga pesakit sendiri tidak menyedarinya.

Pengasas Nervotec, Jonathan Lau berkata, teknologi syarikat itu dapat melengkapi pemeriksaan suhu badan yang dilakukan di tempat awam dan pejabat dan tanda demam hanyalah salah satu gejala COVID-19.

“Aplikasi ini juga dapat mengukur kadar degupan jantung seseorang dengan lingkungan ketepatan dua denyutan seminit dan paras oksigen dalam aliran darah – dalam lingkungan dua peratusan mata.

“Namun, aplikasi ini tidak dapat berfungsi dengan baik apabila sumber cahaya buatan seperti lampu berada dekat dengan kamera kerana ia akan mengganggu bacaan.

Ketepatan aplikasi tersebut, kata Lau, memenuhi piawaian untuk mendapatkan kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) bagi kegunaan perubatan. Sasaran itu ingin dicapai pasukannya dalam masa 18 bulan akan datang.

Beliau berkata, aplikasi itu akan kemudian mendapat kelulusan lebih pantas dari Penguasa Sains Kesihatan Singapura, menurut agensi berita todayonline.

“Seramai 25 anggota dalam pasukan di Nervotec sedang membangunkan versi terkini yang membolehkan pengguna mengambil bacaan mereka walaupun dengan memakai pelitup muka.

“Ia juga sedang berusaha bagi aplikasi itu digunakan untuk perkhidmatan teleperubatan pada masa akan datang,” katanya.

Pembangunan aplikasi Nervotec itu disokong Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) menerusi Wadah Inovasi Terbuka, sebuah program yang memadankan perniagaan dengan penyedia huraian.

Nervotec juga adalah anggota Konsortium Teknologi Kesihatan Singapura yang dilancarkan pada 2019 oleh Yayasan Penyelidikan Kebangsaan (NRF) untuk memadankan rakan kongsi perusahaan dengan golongan akademik di institut penyelidikan dan institusi pengajian tinggi.

Buat masa ini aplikasi Nervotec ditawarkan di pasaran melalui model perniagaan untuk perniagaan dan tidak disediakan untuk pengguna awam.

Pembuat permainan tempatan, Mighty Jaxx sedang menguji aplikasi tersebut dengan mendapatkan pekerjanya mengambil bacaan kesihatan mereka sebelum meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja.

Dalam dua minggu pertama ujian tersebut, ia berjaya mengenal pasti pekerja yang kurang sihat tetapi masih ingin kembali ke pejabat untuk sesi bergambar.

Apabila pekerja itu diarah berjumpa doktor, beliau didiagnos mengalami demam selesema.

Beberapa syarikat besar dalam industri perkhidmatan dan binaan di Singapura, yang namanya belum dapat didedahkan, juga sudah mula menggunakan aplikasi tersebut untuk menjejaki kesihatan pekerja mereka.

Dengan lebih ramai yang bekerja dari rumah sejak pandemik COVID-19, aplikasi itu juga dapat membantu majikan memantau kesejahteraan fizikal dan mental kakitangan mereka dengan lebih baik, kata ketua pegawai operasi Mighty Jaxx, Melissa Wong.

“Kadang-kala pekerja tidak akan berani menyuarakan bahawa mereka tidak sihat badan… jadi mempunyai data itu adalah faktor pendorong tambahan.”. AGENSI

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat