Malaysia Ketandusan Pemimpin Muda?

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Usul untuk mengangkat para pemimpin muda bagi memegang tampuk pemerintahan negara bukanlah satu perkara baharu. Hal ini telah dibincangkan sekian lamanya, bukan sahaja di negara kita Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Namun pada ketika ini, di negara kita, perhatian berkenaan isu ini tertumpu kepada YB Syed Saddiq Syed Abd Rahman, Ahli Parlimen Muar dan juga mantan Menteri Belia & Sukan, yang telah menubuhkan Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) atau dalam bahasa Melayunya dikenali sebagai parti Ikatan Demokratik Malaysia.

Seperti sebahagian besar rakyat Malaysia yang lain, penulis juga pada mulanya agak kagum dengan kepetahan dan keyakinan Ahli Parlimen Muar ini, yang dilihat sebagai pemimpin pelapis yang bakal memacu kemajuan negara.

Namun kini, kekaguman penulis sudah bertukar kepada pandangan yang amat jelik terhadap mantan Ketua Armada PPBM tersebut, kerana kata-kata yang keluar dari mulut beliau pada kebanyakkan masanya tidak sepadan dengan realiti yang sedang berlaku di negara ini.

Beliau sudah diberikan peluang untuk menjadi Ahli Parlimen dan juga telahpun diangkat menjadi Menteri Belia & Sukan Malaysia, tetapi apakah sumbangan beliau kepada pembangunan negara, khususnya kepada golongan belia dan remaja yang boleh kita lihat pada ketika ini?

Jika “track record” beliau hanya dipenuhi dengan program-program kementerian yang telah dirangka oleh pegawai-pegawai kerajaan, maka tidak usahlah beliau pada ketika ini berbicara tentang perubahan dan mempromosikan inklusiviti di dalam politik untuk orang muda. Ini kerana beliau adalah ikon yang paling tidak sesuai untuk dijadikan sebagai contoh.

Apa yang kita mahukan kini adalah pemimpin muda yang mempunyai daya usaha dan fikiran yang mantap untuk menyelamatkan generasi baharu Malaysia daripada terus terpinggir daripada menikmati manfaat pembangunan negara.

Isu-isu seperti graduan menganggur, masalah sosial, jenayah juvana dan lain-lain lagi perlu diselesaikan melalui polisi dan gerak kerja kerajaan. Perkara ini adalah isu pokok yang harus diselesaikan segera, namun telah diketepikan oleh mantan Menteri Belia & Sukan tersebut.

Secara jelas, kita boleh lihat bahawa pemimpin muda yang perlu diangkat pada ketika ini adalah dari kalangan mereka yang faham dan sedar akan tanggungjawab mereka sebagai seorang pemimpin. Membawa perubahan bukan hanya dengan kata-kata, tetapi juga dengan gerak kerja yang mantap, sekaligus dapat memperlihatkan perubahan dalam jangka masa pendek dan panjang yang boleh memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Setiap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia memerlukan perhatian yang mendalam oleh orang-orang muda yang sedang berkira-kira untuk menawarkan diri bagi menjadi pemimpin di negara ini. Kita tidak boleh mempunyai pemimpin yang hanya pandai memuntahkan retorik-retorik kosong atau cadangan-cadangan hambar, kerana kesannya akan dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

Baru-baru ini ada seorang Timbalan Menteri dari parti lama YB Syed Saddiq juga telah mengeluarkan kenyataan yang amat tidak berasas dan jelik. Katanya bagi menangani masalah ekonomi Malaysia, Bank Negara hanya perlu mencetak duit dengan lebih banyak dan diagih-agihkan kepada semua rakyat jelata.

Mungkin pemimpin ini terlalu optimis atau terlajak dungu dalam memahami konsep asas ekonomi dan keadaan kewangan Malaysia. Walauapapun alasannya untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu, secara jelas, pemimpin muda seperti ini harus dijauhkan daripada memegang apa-apa jawatan untuk membuat keputusan di dalam kerajaan.

Malaysia pada ketika ini tidak memerlukan pemimpin-pemimpin muda yang terlalu teruja untuk tampak bijak dengan melontarkan jargon-jargon kompleks, tetapi pada hakikatnya tidak berupaya untuk menyelesaikan isu utama yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia, khususnya masalah yang dihadapi oleh orang muda.

Sungguhpun begitu, ini tidak bermakna bahawa pada ketika ini kita ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang boleh diketengahkan. Penulis merasakan ada beberapa nama yang boleh kita berikan perhatian, kerana mereka berpotensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam arena politik Malaysia.

Antara figura-figura yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan adalah seperti Shahril Sufian Hamdan (UMNO), Nor Hizwan Ahmad (Penggerak Komuniti Negara), Syahir Sulaiman (PAS) dan Ainie Haziqa (Penggerak Komuniti Negara). Keempat-empat nama ini sungguhpun belum lagi memenangi mana-mana kerusi parlimen ataupun DUN, telah menunjukkan keupayaan mereka untuk memimpin organisasi dan juga mempunyai pemikiran progresif yang boleh digunakan untuk memacu kemajuan negara.

Shahril Sufian Hamdan yang merupakan Ketua Penerangan UMNO sekarang adalah contoh pemimpin muda yang berupaya untuk membawa wadah perjuangan Bumiputera ke dalam era yang lebih gemilang. Ketajaman fikiran dan idea-idea bernas beliau memperlihatkan potensi besar untuk memimpin negara.
Begitu juga Syahir Sulaiman, yang kini bertugas sebagai Setiausaha Politik Presiden PAS. Kelebihan beliau dalam bidang ekonomi seharusnya dapat digunakan untuk merencana dan merancang polisi yang lebih baik, terutamanya apabila negara berada di dalam situasi mencabar pada ketika ini.

Nor Hizwan Ahmad pula adalah seorang aktivis masyarakat yang sangat aktif melalui organisasi Penggerak Komuniti Negara. Beliau yang pernah bertanding di dalam PRU-13 di Parlimen Muar sangat berpengalaman dalam hal-hal kemasyarakatan, khususnya dalam isu-isu berkenaan kebajikan bagi golongan B40 dan miskin bandar.

Semasa PKP pertama dilaksanakan, Nor Hizwan Ahmad yang mengetuai Penggerak Komuniti Negara Wilayah Persekutuan telah berjaya mengkoordinasi penyampaian bantuan untuk diberikan di kawasan-kawasan rakyat termiskin di sekitar Kuala Lumpur. Perkara ini bukanlah satu hal yang mudah, kerana untuk menguruskan penyampaian bantuan dalam skala besar di kawasan bandar adalah suatu perkara yang amat rumit.

Bagi kepimpinan wanita muda pula, kita harus memberikan perhatian kepada Ainie Haziqah. Beliau merupakan mantan Ketua Srikandi Keadilan yang kini telah meninggalkan parti reformasi tersebut untuk menumpukan perhatian kepada khidmat bakti melalui NGO. Ainie Haziqah juga merupakan salah seorang daripada pengasas Girl2Leader Malaysia, sebuah organisasi pendidikan kepimpinan antarabangsa yang mensasarkan latihan dan pemberdayaan anak-anak gadis untuk diasah bakat mereka bagi menjadi pemimpin.

Sosok-sosok yang saya namakan di atas adalah antara nama-nama yang perlu kita berikan perhatian. Janganlah apabila kita berbicara tentang kepimpinan orang muda, kita hanya melihat kepada seorang mantan menteri yang gagal dan seorang timbalan menteri yang petah dengan kata-kata kosong sahaja.

Memetik ungkapan yang pernah ditintakan oleh W.S. Rendra “Kesadaran adalah matahari, kesabaran adalah bumi, keberanian menjadi cakrawala dan perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata”, jangan kita terlalu asyik melihat kegelojohan sesetengah pihak yang terlalu mengejar populariti, dengan sangkaan populariti itu adalah kayu pengukur kepada kepimpinan yang baik.

Sudah tiba masanya kita berhenti dari memasyhurkan “pemimpin muda” yang sibuk berswafoto dan bermadah sahaja. Kini tiba masanya untuk kita mengangkat anak-anak muda yang boleh bekerja untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat