Pendakwah Selebriti Guna Gelaran Da’i Perangkap Mangsa Seksual – Polis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang selebriti televisyen muda yang ditahan kerana disyaki melakukan jenayah seksual dan menyebabkan kecederaan pada mangsa dipercayai menggunakan pengaruhnya sebagai pendakwah untuk mengajak mangsa keluar sebelum melakukan perbuatan terlarang itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata taktik yang digunakan suspek untuk menarik perhatian wanita adalah dengan menggunakan laman sosial Instagram miliknya bagi menghantar ‘Direct Message’ kepada pengikut setianya itu.

Beliau berkata suspek akan mengajak pengikut wanita itu untuk keluar bertemu dengannya serta menggunakan pelbagai alasan seperti mengajak mangsa keluar makan dan melakukan urusan perniagaan.

“Selepas mengajak mangsa untuk keluar, suspek akan membuat helah dan memerangkap mangsa untuk datang ke rumahnya bagi melakukan perbuatan sedemikian tanpa kerelaan mangsa.

“…kami baru-baru ini menerima tujuh laporan polis terhadap selebriti itu dan setakat ini, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Huzir berkata satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu melakukan seks luar tabii dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Beliau berkata polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan satu lagi laporan polis diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada unsur gangguan seksual.

“Kami percaya, selepas ini akan lebih ramai lagi individu akan membuat laporan berhubung perbuatan pendakwah itu dan saya minta kepada mereka yang pernah menjadi mangsa dalam kes ini sila tampil buat laporan polis,” katanya sambil menambah bahawa kebanyakan mangsa terdiri daripada penuntut universiti.

Berikutan itu, Huzir berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes-kes melibatkan suspek.

Hari ini, Bernama melaporkan tempoh reman terhadap pendakwah muda itu disambung lima hari lagi bermula esok, bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang wanita berusia 22 tahun yang dikenalinya di laman sosial Instagram September tahun lepas dan membuat laporan polis semalam.

Suspek sebelum ini ditahan pada Jumaat lepas susulan satu laporan dibuat oleh seorang lagi mangsa berumur 23 tahun pada Rabu lepas atas dakwaan merogol. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat