KUALA LUMPUR, – Bekas wartawan Utusan, Borhan Abu Samah berharap UMNO dan pemimpinnya tidak membiarkan Utusan Malaysia menjadi “tikus makmal” kepada penstrukturan industri media sehingga kebajikan pekerja terabai.
Ketua Pengarang Suara Merdeka itu berkata, perjuangan membela orang Melayu perlu diterjemahkan melalui usaha mempertahankan mata pencarian pekerja, termasuk mereka yang selama ini membangunkan institusi persuratkhabaran Melayu.
“Jangan jadikan Utusan tikus makmal. Jangan jadikan wartawan bahan eksperimen. Dan jangan jadikan perjuangan Melayu sekadar slogan ketika periuk nasi pekerja Melayu dipertaruhkan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian menerusi tulisan yang disiarkan dalam SuaraMerdeka.com pada 2 November bertajuk “UMNO KEJAM? SAYA PERNAH MELIHAT UTUSAN MATI, KINI DIJADIKAN TIKUS MAKMAL?”
Borhan mengulas pengumuman Media Mulia Sdn Bhd, penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo!, mengenai pelaksanaan cuti berbayar membabitkan 100 pekerja.
Menurutnya, maklumat yang diterima menyebut pekerja terbabit dijangka menerima surat cuti berbayar atau “garden leave” pada 4 November, sebelum kedudukan mereka ditentukan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan maklumat mengenai tindakan selepas tempoh cuti itu, termasuk kemungkinan penamatan perkhidmatan dan bentuk pampasan, masih memerlukan pengesahan rasmi.
Borhan turut mendakwa Mohamad Azlan Jaafar, yang disifatkannya antara individu penting dalam usaha menghidupkan semula penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo! pada 2020, telah disingkirkan daripada kepemimpinan Media Mulia.
Menurutnya, perkembangan tersebut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju syarikat serta jaminan terhadap kebajikan pekerja yang terjejas.
Beliau turut meminta Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan pengetahuannya mengenai rancangan penstrukturan Media Mulia serta sama ada mempunyai sebarang peranan dalam keputusan berkaitan kepemimpinan dan pekerja syarikat itu.
Dalam tulisannya, Borhan merujuk maklumat korporat yang menurutnya menunjukkan hubungan anak Johari, Amir Nashrin Johari, dengan Opulence Global Asia Sdn Bhd, salah sebuah syarikat pemegang saham Media Mulia.
“Saya tidak membuat tuduhan bahawa Johari sendiri mengarahkan semua keputusan tersebut. Itu perlu dibuktikan,” katanya.
Borhan berkata, persoalan yang perlu dijawab termasuk pihak yang meluluskan program cuti berbayar, rancangan selepas tempoh itu berakhir serta jaminan bahawa pekerja yang akhirnya ditamatkan perkhidmatan menerima hak dan pampasan sewajarnya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa pendekatan mengurangkan tenaga kerja sambil mengekalkan jenama dan operasi penerbitan boleh menjadi contoh kepada organisasi media lain.
“Saya bimbang Utusan sedang dijadikan tikus makmal kepada satu model penstrukturan industri media yang akhirnya boleh mengorbankan lebih ramai pekerja,” katanya.
Namun, beliau menjelaskan kebimbangan itu bukan dakwaan bahawa langkah sedemikian telah dirancang, sebaliknya persoalan yang wajar diteliti demi masa depan pekerja industri media.
Mengimbas penutupan operasi Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada 9 Oktober 2019, Borhan berkata pengalaman menyaksikan kira-kira 800 pekerja terjejas menyebabkan beliau tidak mahu sejarah sama berulang.
Katanya, pekerja bukan sekadar angka dalam penyata kewangan, sebaliknya mempunyai keluarga, anak yang masih bersekolah serta pelbagai tanggungan.
Beliau turut mengimbas pelancaran Suara Merdeka pada 10 Oktober 2019, sehari selepas penutupan Utusan, sebagai usaha meneruskan pengalaman dan kemahiran kewartawanan yang dibina selama puluhan tahun.
Borhan berkata, beliau memahami cabaran kewangan organisasi media dan tidak menentang penstrukturan, transformasi digital atau penggunaan kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan.
Namun, tegasnya, perubahan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengabaikan kebajikan pekerja yang selama ini membina kekuatan sesebuah organisasi.
“Jangan terlalu sibuk bercakap tentang menyelamatkan Melayu sehingga terlupa menyelamatkan pekerja Melayu sendiri,” katanya. – SuaraTV



