Penganjur program dihadiri Muhyiddin, Najib dikompaun

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Dua tawaran kompaun bernilai RM20,000 dan RM4,000 dikeluarkan kepada penganjur melibatkan program dihadiri bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan akhbar memaklumkan, tawaran kompaun bernilai RM20,000 ditawarkan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Muhyiddin.

“Satu lagi tawaran kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program dihadiri Najib.

“Kedua-dua kompaun ini dikeluarkan berikutan kegagalan pihak penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, tawaran kompaun itu berdasarkan pemantauan dan siasatan dijalankan pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Ia dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021],” katanya.

Mengenai isu tular pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatkan Muhyiddin dan Najib, hasil siasatan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan PRN Melaka sepanjang tempoh lawatan yang lebih berbentuk walkabout oleh dua individu tersebut.

Mengulas lanjut, pihak Kementerian Kesihatan dan JKN Melaka dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau pematuhan SOP khususnya menjelang PRN Melaka sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“Pihak Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kementerian Kesihatan menasihati semua lapisan masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,” katanya.

-UTUSAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat